
KUALA TERENGGANU: “Bergetar jiwa saat mengaminkan bacaan doa oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus,” tulis calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL di Dun Ladang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Zuraida Md Noor. (Foto atas)
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau menyatakan Ustaz Azhar mendoakan kemenangan kepada parti yang bersungguh-sungguh mahu membela Islam.
“Al-fadhil Ustaz bersama tujuh orang ahli keluarganya adalah pengundi di Dun Ladang dan insya-Allah mereka menyatakan komitmen untuk parti yang membawa Islam,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau ketika ditemui berkata, akan meneruskan legasi daripada bekas Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dalam menjaga rakyat jika dipilih pada PRN kali ini.
“Insya-Allah saya akan meneruskan legasi daripada Dato’ Tengku Hassan yang mana Dato’ sangat cemerlang dalam menjaga kebajikan rakyat, cukup cakna dengan isu-isu rakyat, isu kebajikan dan insya-Allah kita akan meneruskan apa yang Dato’ buat.
“Kalau kebajikan itu kita akan teruskanlah. Saya rasa mana-mana wakil rakyat pun akan menitikberatkan kebajikan dan juga cakna dengan persekitaran rakyat di Dun Ladang itu,” katanya yang dilantik sebagai Adun Wanita pada penggal lalu.
Katanya, walaupun dari segi fizikal Adun Wanita berbeza tetapi beliau tidak mahu nampak kekurangan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh Adun Ladang sebelum ini.
“Mantan kita buat gitu, kita akan follow dan insya-Allah lebih baik,” ujarnya lagi.
Beliau juga menyatakan komitmen untuk memberi penekanan dalam soal pendidikan kepada anak-anak di Dun itu supaya tidak tercicir.
Zuraida akan memastikan anak-anak di Dun Ladang tidak tercicir dalam arus pendidikan negara.
“Kita tak mahu tengok anak kita tercicir dalam pelajaran. Contohnya, ada yang tak sampai SPM pun ramai sebenarnya. Kalau saya pergi melawat kampung-kampung tu ada sampai darjah tiga atau empat terabai.
“Kita akan memastikanlah anak-anak di Dun Ladang khususnya tidak tercicir sekurang-kurangnya sampai SPM sebab kita tahu SPM kunci kerjaya dan untuk kerja,” jelasnya.
Pada PRN kali ini, beliau berdepan dengan calon BN, Dato’ Mohd Sabri Alwi. – HARAKAHDAILY 31/7/2023




















