
DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam tindakan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang dilihat seolah-olah cuba merasuah rakyat dengan pelbagai peruntukan one-off sebagaimana yang diumumkan di Terengganu baru-baru ini.
Tindakan tersebut boleh diklasifikasi di bawah kesalahan Seksyen 23 Akta SPRM kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk melakukan rasuah. Malangnya, pihak SPRM awal-awal lagi menafikan kesalahan tersebut.
Ironi sekali pihak kerajaan yang kononnya dilihat sangat sensitif dengan amalan rasuah dan salah laku tadbir urus tiba-tiba boleh menutup mata terhadap kesalahan serius yang dilakukan oleh orang nombor dua dalam Kerajaan campuran mereka sendiri. Sedangkan kesalahan tersebut disaksikan oleh jutaan rakyat dan ia bukannya berlaku secara sembunyi-sembunyi.
Jelaslah kerajaan yang diulang-ulang dengan slogan madani ini telah jauh daripada realiti. Mereka kononnya tegar melawan rasuah dan salah laku sedangkan kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak.
DUPP yakin tidak mustahil negeri-negeri turut akan menjadi destinasi seterusnya untuk pihak musuh menggunakan jawatan mereka sebagai alat untuk menabur pelbagai janji manis kepada rakyat. Namun, rakyat tidak mudah termakan dengan janji kosong pihak lawan.
DUPP sangat berkeyakinan bahawa prestasi cemerlang tiga tahun Kerajaan Negeri pimpinan PAS atau PN adalah ‘manifesto’ utama kepada sokongan rakyat kepada kami.
Sebagaimana yang selalu kami ulang, rakyat khususnya anak muda telah membuat keputusan yang jelas, terang lagi bersuluh untuk memilih kepimpinan Perikatan Nasional sebelum melakarnya di atas kertas undi.
Sekian.
YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
13 Muharam 1445 Hijri | 31 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 31/7/2023




















