
KUALA LUMPUR: Pemberian insentif oleh kerajaan Terengganu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dianggap sebagai sogokan, sebaliknya pengumuman bantuan khas Perdana Menteri kepada penjawat awam ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dibolehkan.
Bekas Timbalan Ketua Umno Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kes serupa di Terengganu dianggap sebagai menyogok pengundi.
Ketika kempen PRU15, katanya kerajaan Terengganu bukan kerajaan sementara kerana tidak terbabit dengan PRU15.
“Kenapa ada double standard (dwistandard) dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menyalur peruntukan khas kepada NGO di Terengganu ketika kempen PRN berlangsung,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid antara lain menyebut peruntukan itu akan dinaikkan jika parti kerajaan menang PRN, 12 Ogos ini.
Pada 27 Julai lepas, Perdana Menteri mengumumkan pemberian bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, bantuan khas penghargaan sebanyak RM200 pula akan diberi kepada pesara kerajaan, sedangkan pada 27 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Dato’ Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 kerana didakwa berlaku unsur sogokan.
Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata, pihak pempetisyen, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Tun Faisal berkata, rakyat semakin tidak yakin dengan agensi kerajaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dianggap membuat kenyataan berbeza.
“Kenyataan SPRM dibandingkan dengan keputusan yang membatalkan kemenangan PAS di Kuala Terengganu. Lebih-lebih lagi insentif yang diumumkan Anwar tiada perancangan dalam bajet. Pengumuman Zahid dah sah bersyarat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/7/2023











