
ALOR SETAR: Gandingan dua bintang bola sepak negara sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini melonjak sokongan anak-anak muda.
Baddrol Bakhtiar yang bertanding di DUN Gurun dan Muhammad Radhi Mat Din (Alor Mengkudu) mempunyai penyokong tersendiri, bukan hanya anak muda sebaliknya dari pelbagai lapisan umur.
Ketangkasan mereka di padang bola dilihat mampu menarik pengundi memberi sokongan kepada PN bagi mengekal penguasaan parti itu di Kedah.
Baddrol menyifatkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai idola sehingga mengambil keputusan bersara daripada dunia sukan.
Sementara itu Radhi yang hadir lima tahun lebih awal juga menganggap Sanusi antara gelombang sokongan rakyat terhadap PN.
Kehadiran kedua bintang bola sepak berkenaan sentiasa mendapat sambutan anak-anak muda, sehingga ramai yang ingin bersalaman dengan mereka.
Radhi berjanj akan membantu penduduk di Alor Mengkudu, terutama di bidang pertanian jika diberi mandat rakyat pada 12 Ogos ini.
Baddrol pula berhasrat membantu anak-anak muda menentukan kerjaya serta masa depannya selepas tamat alam persekolahan. – HARAKAHDAILY 31/7/2023











