
PASIR MAS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila aktivis masyarakat, Dato’ Seri Suzainal Adnan Sukri bertanding atas tiket bebas.
Pengurus Pilihan Raya DUN Tendong Bahari Daud berkata, semua borang pencalonan tidak ditolak setelah dibuat semakan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, penyandang kerusi DUN Tendong, Rozi Mohamad turut ditentang Noor Hariri Mohamed Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN).
Rozi mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 2,251 undi menewaskan calon BN dan PKR.
DUN Meranti pula menyaksikan pertembungan dua penjuru antara penyandang, Dato’ Mohd Nasuruddin Daud dan calon BN, Zahri Omar.
Sementara itu di DUN Pengkalan Pasir, berlaku pertembungan muka baharu iaitu Nasriff Daud Yatimee dari PAS ditentang Rushdan Mustafa mewakili Pakatan Harapan (PH).
Proses penamaan calon diadakan di Dewan Budiman Kolej Vokasional Bunut Susu.

Sementara itu, DUN Kota Lama menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila calon PN yang diwakili PAS, Dato’ Zamri Ismail ditentang tiga calon lain selepas satu pencalonan ditolak.
Calon teknokrat PAS itu berhadapan Dr Hafidzah Mustakim (PH), Tan Boon Kian atau Andy Tan (Parti Rakyat Malaysia) dan wakil bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Bagaimanapun, hasrat seorang suri rumah bertanding tidak kesampaian apabila kertas pencalonannya ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Difahamkan pencalonan Tan Lay Tho, 63, ditolak berikutan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan SPR apabila pencadangnya, Ong Chi Lam, 63, yang juga suaminya dari DUN Bunut Payung.
Pada masa yang sama, suri rumah itu membawa penyokong iaitu bapa saudaranya, Wee Choon Seng, 85, yang juga pengundi DUN Kota Lama.
Pegawai Pengurus DUN Kota Lama, Izzuddin Ab Rashid mengumumkan nama calon DUN Kota Lama di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) jam 11.45 pagi.
Beliau berkata, pihaknya menerima lima borang pencalonan daripada lima calon yang hadir di pusat penamaan calon itu.
Di DUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim (PN) ditentang Zinda Khalil Sastro Hassan (PH), manakala di DUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman (PN) berdepan Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin (BN). – HARAKAHDAILY 29/7/2023











