Amzad, Zuraida serah borang pencalonan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Zuraida Md Noor telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing di pusat penamaan calon di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, sebentar tadi.

- Advertisement -

Amzad bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu sementara Zuraida pula bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Ladang.

Wakil calon kepada Amzad ialah Azrin Aris, Ustaz Hamzah Ngah sebagai pencadang dan Ustaz Alias Abu Bakar (penyokong).

Bekas Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar pula adalah pencadang kepada Zuraida sementara Ustaz Kamal Ali dan Zulaidah Idris ialah wakil calon dan penyokong.

Sebelum itu, para penyokong PAS dan PN berkumpul di Surau Haji Awang, Ladang Sekolah kira-kira jam 7.30 pagi dan menunaikan solat hajat 7.45 pagi yang diimami oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Kuala Terengganu, Ustaz Alias Abu Bakar.

Selepas itu, para penyokong PN sekitar 2,000 orang memulakan perarakan pada jam 8.42 pagi di hadapan Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang ke pusat penamaan calon kira-kira satu kilometer.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam turut mengiringi calon.

Proses penamaan calon bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu dan PRN DUN Ladang masih berlangsung. – HARAKAHDAILY 29/7/2023

- Advertisement -