
ZAHIRKAN rasa kekesalan terhadap apa yang berlaku. Jangan redha dengan maksiat dan perbuatan luar tabii yang dipamerkan.
Demikian pesanan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
Peristiwa hitam pada 3 Muharram ini seolah-olah menjadi seruan buat kita. Seruan untuk Malaysia menyedari akan kelemahan sistem konvensional dan melakukan reformasi ke arah mengamalkan sistem Islam.
Setuju atau tidak kita tidak mampu menafikan bahawa kelancangan The 1975 itu berlaku atas kelemahan sistem pemerintahan negara.
Jangan berasa pelik jika anak cucu kita kelak semakin rosak dek sistem yang hanya menekankan kepada hal kebendaan dan mengabaikan aspek pembangunan insan.
Tanya pada diri, adakah kita akan berbangga dengan bangunan tinggi sedangkan ketika itu masyarakat seluruhnya rosak dan tiada jati diri.
Buku Memahami Prinsip-prinsip Amal Islami ada menggariskan mengenai 3 jenis pemerintahan,
1. Pemerintahan Islam yang adil.
2. Pemerintahan Islam yang menyeleweng.
3. Pemerintahan bukan-Islam yang menolak syariat Islam.
Setiap satu ini akan membawa kepada hasil yang berbeza.
Sheikh Imam Hassan al-Banna juga ada menyatakan, sistem pemerintahan sesebuah kerajaan adalah jantung kepada reformasi sosioekonomi negara.
Maka dalam hal ini, seharusnya menjadi pendirian kita untuk berusaha mewujudkan dasar dan mengamalkan sistem pemerintahan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti yang diajar oleh Islam.
Cukup-cukuplah menggunakan hujah ekonomi, pelaburan, pembangunan untuk merosakkan masyarakat. Mari kembali kepada Islam secara seluruhnya.
Sekian.
KAMIL ARIF BAIHAGI
Pengerusi SiswaPAS Malaysia – HARAKAHDAILY 27/7/2023











