450 bekas pemimpin, ahli Umno sertai PAS

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Gelombang rakyat yang berlaku di seluruh negara sekarang tambah marak lagi dengan penyertaan ramai bekas pemimpin dan ahli Umno bersama PAS dan Bersatu.

- Advertisement -

Malam Ahad lepas seramai 450 orang termasuk bekas ahli Jawatankuasa Wanita Umno Rantau Panjang, pemimpin cawangan dan penyokong parti itu mengumumkan meninggalkan parti terbabit dan menyertai PAS.

Mereka menyerah borang menyertai PAS kepada Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sempena program ceramah Ppakat Pertahan Kelantan Dun Gual Periok di Wisma Tarbiah baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Rantau Panjang Dato’ Mohamad Awang berkata, turut menyertai PAS pada program tersebut bekas ahli jawatankuasa Wanita Umno bahagian, Ketua Cawangan Umno Kubang Kual Mahathir Mohamad dan ramai lagi pemimpin peringkat akar umbi.

Katanya, bekas ahli jawatankuasa Wanita Umno Rantau Panjang yang lebih dikenali dengan panggilan Maksu memberitahu rela hati meninggalkan Umno selepas lama berjuang bersama Umno.

“Saya dan ahli parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah sebelum ini sering membantu rakyat terutamanya mereka yang terjejas banjir tanpa mengira ideologi politik.

“Mereka termasuk ahli dan penyokong Umno. Melalui usaha itu secara tidak langsung kami dapat menjalin hubungan rapat dengan rakyat termasuk ahli Umno,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau yang juga bekas Adun Gual Periok berkata, jumlah bekas ahli dan penyokong Umno yang menyertai PAS pada Sabtu lepas teramai setakat ini di Dun berkenaan.

Sementara itu Penghulu Bandar Rantau Panjang Wan Idris Wan Deraman berkata, petugas Pusat Khidmat Dun Gual Ipoh masih lagi mengisi borang-borang bekas-bekas ahli dan penyokong Umno yang menyertai PAS baru-baru ini.

Katanya, memandangkan jumlah yang menyertai PAS seramai 450 orang menyebab tempoh untuk mengisi borang permohonan tersebut mengambil masa agak panjang. – HARAKAHDAILY 26/7/2023

- Advertisement -