Memori saya dan Abang Din (Salahuddin Ayub)

- Advertisement -

DI dalam PAS, lazimnya pendukung jamaah ini dibahagikan kepada tiga golongan, iaitu ulamak, profesional dan aktivis. Pada pemerhatian saya, Abang Din ini termasuk dalam golongan aktivis PAS. Golongan aktivis PAS ialah mereka yang sepenuh masa berkhidmat dengan PAS sama ada yang mempunyai jawatan tinggi atau rendah, biasanya tidak mempunyai kerjaya luar yang tetap dan meluangkan hampir sebahagian besar masa seharian untuk kegiatan PAS.

Saya mula kenal dengan Abang Din semasa menjadi pelajar di Universiti Malaya, cuma waktu itu mengenali beliau dari jauh sebagai aktivis Pemuda PAS. Hubungan kami menjadi rapat, apabila saya dilantik sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1999. Abang Din pula adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), manakala Haji Mahfuz Omar pula adalah ketuanya. Boleh dikatakan, kepimpinan DPPP ketika itu diketuai oleh golongan aktivis, setelah golongan profesional tewas.

Sebagai salah seorang daripada pensyarah universiti yang berada di dalam saf DPPP ketika itu, saya diberi tugasan khusus untuk menyelia gerakan mahasiswa PAS di kampus. Selain daripada takhassus tersebut, saya selalu menjadi inner circle kepada Haji Mahfuz dan Abang Din apabila timbul isu-isu besar dalam politik Malaysia. Panggilan daripada mereka akan segera saya penuhi sesuai dengan disiplin sebagai seorang ahli jamaah. Di sinilah hubungan saya semakin erat dengan Abang Din.

Antara tugasan paling besar yang menjadi kenangan penting sebagai inner circle Abang Din ialah membantu menyediakan hujah-hujah beliau untuk berdebat dengan Datuk Mohamed Nazri Aziz mengenai isu penarikan geran perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR) pada tahun 2003. Sebagai salah seorang ketua saya, kadang-kadang saya juga diminta membantu menyediakan kandungan ucapan, kenyataan akhbar dan lain-lain sesuai dengan ruang saya yang luas untuk akses kepada rujukan akademik.

Hubungan rapat dengan Abang Din yang terbina daripada disiplin sebagai anggota PAS, disulam pula dengan semangat ukhuwah Islamiyyah sesama pendukung PAS. Gambaran rapatnya hubungan saya dengan beliau, sehingga beliau boleh menghirup kuah tomyam daripada mangkuk tomyam milik saya ketika makan bersama-sama. Apabila beliau dipilih sebagai Ketua DPPP pada tahun 2003, saya dilantik oleh beliau mengetuai Institut Polisi Studi (IPS), agensi kajian strategik di bawah DPPP.

Sehingga pada tahun 2005, saya melepaskan jawatan dalam DPPP untuk melanjutkan pengajian PhD saya di United Kingdom. Ada beberapa kali beliau berkunjung ke United Kingdom untuk menghadiri program pelajar, dan kami menggunakan kesempatan itu untuk bertemu dan berbincang mengenai hal ehwal politik tanah air. Dalam satu kunjungan beliau sekitar tahun 2007 atau 2008, beliau ada meminta pandangan sama ada beliau mahu meneruskan penggal beliau sebagai Ketua DPPP atau tidak.

Dalam satu program bersama pelajar di United Kingdom, beliau ada menyebut mengenai penghargaan beliau terhadap sahabat-sahabatnya sebagai pensyarah di universiti, yang sentiasa memenuhi panggilan beliau walaupun kadang-kadang dihubungi setelah lewat malam. Mendengar ucapan beliau tersebut, isteri saya bercakap kepada saya, boleh jadi saya juga termasuk dalam golongan itu kerana sewaktu di tanah air sememangnya itu antara naturetugasan saya sebagai Pengarah IPS di bawah DPPP.

Selepas saya kembali ke tanah air, Abang Din telah dipilih ke beberapa jawatan penting di dalam PAS iaitu jawatan tertinggi beliau ialah Naib Presiden PAS. Pada tahun 2011 semasa beliau menjawat jawatan Naib Presiden PAS, beliau telah diamanahkan dengan beberapa tugas khusus seperti Jawatankuasa Khas menyiapkan dokumen Negara Berkebajikan. Beliau telah meminta saya yang ketika itu sebagai Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) untuk menjadi pembantu utama beliau.

Haluan saya dan Abang Din mula berbeza bila berlaku konflik dalaman PAS pada tahun 2014. Tiga perkara asas yang membezakan haluan kami, yang pertamanya beliau cenderung kepada Muslim Progresif sepertimana Anwar Ibrahim sedangkan saya menentang pendekatan itu. Yang kedua, beliau tetap melihat DAP sebagai rakan kerjasama sebaliknya bagi saya DAP sudah jelas menjadi seteru. Dan terakhir, beliau tidak bersetuju PAS menerokai usaha Penyatuan Ummah termasuk dengan Umno.

Selepas Muktamar PAS tahun 2015, beliau tidak lagi terpilih sebagai Naib Presiden PAS. Bagaimanapun, Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, telah memutuskan melantik beliau sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Pada peringkat awal, beliau cenderung untuk menerima pelantikan, tetapi kemudian beliau telah memilih untuk menolak, malah bersama-sama dengan golongan yang kalah dalam pemilihan muktamar menubuhkan parti baru, PAN.

Semenjak itu, saya dan Abang Din membawa haluan masing-masing. Setelah membawa haluan masing-masing, maka jaranglah pula bersua muka. Bila sesekali terserempak pasti kami akan bertanya khabar dan berbual mesra. Kali terakhir terserempak dengan beliau di Taman Melewar, ketika beliau membeli goreng pisang di hadapan bangunan KUIZM. Beliau memandang-mandang bangunan tersebut, mungkin mengimbau kenangan semasa bergiat di Pejabat DPPP di dalam bangunan itu.

Semalam Abang Din telah dipanggil oleh Yang Maha Pencipta kembali kepadaNya. Sahabat-sahabat saya yang seangkatan dengan Abang Din di dalam DPPP terutama yang masih istiqamah dengan PAS semuanya bersedih, kehilangan seorang sahabat yang pernah mengetuai kami semua. Memori saya dan Abang Din tetap terpahat di hati walaupun beliau membawa haluan berbeza sehinggalah beliau meninggal dunia. Semoga Allah S.W.T melimpahkan rahmah dan maghfirah ke atas Abang Din.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 25/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -