Konsert The 1975 sengaja dirancang sebagai perintis kepada projek besar

- Advertisement -

UMUM mengetahui Perdana Menteri sama ada telah terlanjur terlalu teruja atau sememangnya benar-benar teruja ketika mengucapkan ‘Welcome To Malaysia‘ kepada Coldplay dengan diikuti oleh Menteri Fahmi Fadzil serta seterusnya barisan kepemimpinan Madani. 

Entahlah rasukan apa yang terkena kepada kerajaan madani sehingga terlalu ghairah kepada konsert. Sama ada konsert menjadi keseronokan peribadi atau konsert sebagai untuk memenuhi kehendak dan permintaan peminat dan rakyat. Malah rakyat sendiri pening apakah keperluan utama yang kerajaan benar-benar usahakan.

Sehingga terpapar kepada rakyat ghairahnya kerajaan madani kini kepada konsert sehinggakan Perdana Menteri sendiri menggalakkan konsert di IPT-IPT. Rakyat terus pening adakah konsert wajar dibenarkan di IPT kelak dibenarkan pula ke sekolah-sekolah. 

Peristiwa kumpulan The 1975 benar-benar mengejutkan negara namun cara kerajaan madani tenang mengendalikan peristiwa cium mulut ini lebih lagi mengejutkan. Rakyat hairan bagaimana kumpulan yang terserlah mengamalkan LGBT dibenarkan masuk untuk mengadakan konsert.

Sebagaimana pendedahan seorang kru yang terlibat dengan Konsert Good Vibes bahawa latar belakang dan aksi buruk kumpulan The 1975 sememangnya telah diketahui sebelum dibenarkan naik ke pentas konsert.

Pihak penganjur sendiri telah memberikan janji dan jaminan kepada pihak kerajaan akan bertanggungjawab. Malah sikap kerajaan yang telah mengetahui dan sanggup melonggarkan kebenaran dengan menerima jaminan pihak penganjur amatlah dikesali.

Menurut pendedahan kru Konsert Good Vibes kumpulan berkenaan diberikan layanan yang sangat istimewa walaupun pihak penganjur dan kerajaan tahu aksi cium mulut dengan kaum sejenis tidak pernah terlepas daripada aturcara mereka bahkan The 1975 pernah dihalau daripada konsert di Dubai kerana kesalahan yang sama.

Sikap dan pendirian kerajaan terutama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Pelancongan cuci tangan meletakkan kesalahan ke atas penganjur semata-mata amatlah dikesali. Malah kesemua ahli The 1975 tidak pula ada yang ditangkap tetapi dibenarkan keluar dari negara pada jam 3 pagi malam yang sama. Sedangkan seminggu sebelum itu seorang Menteri Besar ditahan pada jam 3 pagi kerana kesalahan yang difitnah kepada beliau.

Pihak kerajaan mengetahui latar belakang The 1975 yang melekat kuat dengan LGBT tetapi mengambil risiko membenarkan mengadakan konsert kerana cuba bereksperimen dengan agenda yang lebih besar wajar dipersoalkan.

Tidak mustahil sekiranya The 1975 tidak melakukan aksi tidak senonoh atau seumpama LGBT maka ia boleh dijadikan sebagai lesen atau testimoni bahawa artis LGBT boleh sahaja mematuhi peraturan dan tidak salah untuk mereka mengadakan konsert. Kerajaan madani cuba untuk mengajar rakyat untuk tidak menghakimi mana-mana artis dengan kepercayaan mereka sebaliknya rakyat wajar belajar mengasingkan kepercayaan atau amalan LGBT dengan bakat dan profesion artis.

Malah tidak pelik jika sebelum kehadiran Coldplay mengadakan konsert dalam negara, deretan artis serta kumpulan luar negara yang pro LGBT boleh disenaraikan untuk mengadakan konsert di Malaysia. Sekiranya kesemua deretan artis luar negara ini berjaya mematuhi prosedur dan peraturan yang dikenakan penganjur seperti meninggalkan aksi senonoh maka seluruh rakyat bolehlah diajak untuk menerima kehadiran Coldplay mengadakan konsert di Malaysia.

Percubaan jahat pihak tertentu untuk menormalisasikan persepsi rakyat terhadap golongan LGBT amatlah dikesali dan sangat berbahaya serta berlawanan dengan Perlembagaan, budaya dan kepercayaan agama rakyat Malaysia. Sikap untuk mengajak rakyat mengasingkan atau tidak mengaitkan kehidupan peribadi dengan profesion serta bakat seseorang adalah tidak wajar ditanamkan dalam mana-mana individu rakyat Malaysia.

Maka kerana itulah kejadian bencana daripada kumpulan The 1975 wajar diambil tanggungjawab yang serius oleh kerajaan. Tindakan tegas wajib diambil kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab memilih dan membenarkan The 1975 mengadakan konsert di Malaysia. Rakyat wajib menyatakan penentangan kepada aksi luar tabii yang cuba dinormalisasi secara halus demi kesejatian generasi Malaysia. 

Sebelum kerajaan madani cuba menormalisasikan penerimaan amalan LGBT dalam kalangan Rakyat Malaysia, maka Kerajaan Madanilah yang sepatutnya tahu dan sedar bahawa Rakyat Malaysia tidak akan sekali-kali atau tidak sedikit pun akan melunturkan pendirian menentang LGBT sehabis-habisnya. Kerajaan madani wajib menunjukkan kebersamaan pendirian dengan rakyat.

ABU FATEH – HARAKAHDAILY 24/7/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0fZvVQ1FSkeVdFYPe9d3wCmVR48bWLLBTJc2TNJtQTm5w2yw29ABvA4PZNiW14u2tl&id=100064584887142&mibextid=CDWPTG 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -