
KUALA LUMPUR: Kelakuan kumpulan The 1975 membawa budaya tidak sihat kepada rakyat Malaysia terutamanya generasi muda, kata Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Malaysia, Kartini Ahmad.
Sehubungan itu, ujarnya Muslimat PAS Malaysia mengecam perbuatan mereka kerana jelas membawa pengaruh sekularisme dan liberalisme dalam persembahan.
Beliau menambah, aksi tidak bermoral yang mencetuskan kontoversi bertentangan dengan budaya ketimuran negara ini.
Katanya, selain membawa minuman keras pada pembukaan persembahan, vokalis kumpulan itu telah memberikan ucapan yang menghina adat dan budaya orang Melayu serta undang-undang Malaysia.
Selain itu, ujarnya mereka juga membawa ideologi LGBTQ, dan kononnya mempertahankan ‘human rights’, ditambah pula dengan aksi tidak bermoral yang mencetuskan kemarahan ramai pihak.
Beliau berkata, apabila datang ke sesebuah negara, mereka sewajarnya menghormati undang-undang dan adat budaya negara itu.
Kartini menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan biadab vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy ketika beraksi pada konsert The Good Vibes Festival 2023 di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat lepas.
Tindakan jijik penyanyi itu secara terbuka bercium sesama jenis, meneguk minuman keras dan mempertikaikan undang-undang Malaysia berkenaan LGBTQ dikecam banyak pihak.
“Muslimat PAS Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan kumpulan ini kerana merosakkan akidah dan akhlak rakyat terutamanya anak muda,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, Muslimat PAS tidak rela akhlak anak muda tergadai akibat persekitaran negatif seperti yang dipamerkan dan akan menjerumus kepada budaya songsang jika tidak dibendung.
Beliau menambah, kerajaan sepatutnya meneliti latar belakang setiap penganjuran hiburan seperti itu dan menolak jika membabitkan personaliti yang sedia dikenali dengan ideologi songsang.
“Selamatkan negara, selamatkan akidah rakyat Malaysia,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/7/2023











