
BALING: PKR adalah parti yang tidak sesuai disertai oleh orang soleh, baik dan jujur kerana ia dipenuhi oleh kalangan penipu, pembohong, pemfitnah, sesumpah, tukang karut dan tukang formula.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka itu sedang berkeliaran di seluruh negeri ini untuk memesongkan perhatian rakyat dan mengubah pendirian yang dipegang.
Beliau secara khusus merujuk mereka itu ialah Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli serta Setiausaha Agung PKR, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, Saifuddin dan Rafizi sendiri telah membentangkan secara umum terbuka rancangan mereka yang menyentuh berkenaan kaedah-kaedah membunuh karakter politik orang lain.
Menteri Besar Kedah itu bahkan berkata, mereka itu semata-mata mahu mengejar kuasa di mana apabila memilikinya akan mengawal kehidupan rakyat mengikut kehendak dan cara dimahukan mereka.
Sedangkan bidasnya, sejak mereka itu menerajui Kerajaan Persekutuan, tiada janji ditunaikan atau usaha ke arah kehidupan rakyat lebih baik dilakukan, berbanding pencapaian yang berlaku di negeri ini.
Sanusi mengimbau sikap politik jahat mereka itu sebagaimana pernah dilakukan terhadap rakan dalam parti sendiri iaitu ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Almarhum Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sedangkan Tan Sri Khalid katanya, adalah seorang individu sangat berjasa kepada negara antaranya pernah mengetuai Operasi London Guthrie Dawn Raid untuk mengambil alih Guthrie dari syarikat British.
Ceritanya, fitnah dibuat mereka menerusi dokumen 91 muka surat telah menyebabkan Tan Sri Khalid dipecat daripada PKR dan hilang jawatan Menteri Besar hingga kes itu dibawa ke mahkamah.
Ekoran itu sambungnya, mahkamah memutuskan perkara itu adalah fitnah dan mereka terpaksa meminta maaf kepadanya, namun ternyata mereka tidak insaf dan masih membawa politik sedemikian hingga ke hari ini.
“Saya nak pesan bahaya puak-puak ni dalam politik Malaysia ialah mereka sanggup buat apa saja, fitnah, reka, bentang, ulang, tak kira apa satu, asal matlamat mereka capai. Dan sekarang ini sedang diusahakan bersungguh-sungguh di Kedah.
“Untuk memalitkan arang ke muka kita, untuk mereka-reka cerita, mengada-ngadakan yang tiada. Dan di ulang-ulang,” ujar beliau memberi peringatan penting tersebut. – HARAKAHDAILY 23/7/2023




















