Tekanan kepada PN kerana PH-BN tiada pengaruh sokongan

- Advertisement -

BALING: Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menggunakan kuasa semaksimum mungkin menekan untuk melemahkan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana gabungan itu tidak mempunyai pengaruh dan sokongan.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, PH-BN masih berpolitik seperti zaman televisyen hitam-putih yang bukan sahaja memperalat media untuk mereka, tetapi menyekat liputan kepada pihak lawan.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu membidas tindakan PH-BN yang melemparkan pelbagai tuduhan kepada PN dan terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, termasuk menyekat akaun TikTok pemimpin itu.

“Mereka boleh gunakan macam-macam, tetapi silap mereka sebab berpolitik hari ni bukan politik zaman televisyen hitam putih. Dia kata kepada YB Sanusi malam ni, kita jawab melalui TikTok, melalui Facebook, melalui Instagram, melalui Twitter

“Maka politik mereka masih lagi politik ketinggalan, politik mereka politik yang jauh tak matang daripada apa yang kita lakukan. Anak-anak muda pada hari ini, mereka boleh akses maklumat bawa balik kepada ibu bapa mereka. 

“Yang dulunya (mak ayah mereka) agak nak cenderung kepada Umno, kepada PH. Apabila anak-anak muda bawa balik tunjuk berita-berita melalui WhatsApp, melalui Twitter, melalui Instagram, melalui TikTok, melalui Facebook.

“Akhirnya mak ayah dia dulu sokong Umno, sokong PH, kali ni mereka akan bersama dengan kita,” ujarnya pada Ceramah Gelombang PN di Padang Awam Kuala Ketil di sini semalam.

Ustaz Idris menjelaskan perubahan tersebut sebagai sifat Mukmin yang disebut Nabi SAW iaitu tidak akan digigit dua kali dalam lubang sama di mana disamakannya dengan penipuan dilakukan PH-BN.

“Sekali boleh kamu tipu, tapi apabila nak masuk kali kedua rakyat yang ada maruah, rakyat yang ada harga diri, rakyat yang ada moral tidak boleh menerima pemimpin yang bercakap lain buat lain.

“Kerana sebelum mereka menjadi pemimpin merekalah juara untuk bercakap soal integriti, bercakap soal rasuah, bercakap kononnya boleh untuk menurunkan harga barang, macam-macam formula yang mereka janjikan,” bidasnya.

Hari ini katanya, rakyat semakin benci dengan semua pembohongan mereka itu yang berjanji segala macam ketika jadi pembangkang, tapi apabila sebagai kerajaan gagal menunaikan tanggungjawab. – HARAKAHDAILY 23/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -