Yakin Allah SWT bantu gagalkan cabaran dari lawan

- Advertisement -

SIK: Allah SWT merakamkan di dalam al-Quran pada ayat 30 surah al-Anfal betapa perjuangan di jalan-Nya pasti berdepan musuh yang akan mengenakan sekurang-kurangnya empat cabaran.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, empat cabaran itulah yang dilihat cuba ditimpakan ke atas Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ini.

“Pertama, cabaran berhadapan dengan konspirasi, berdepan dengan komplot, berdepan dengan rancangan jahat terpaksa ditempuh dan dihadapi. Yang kedua kemungkinan ditangkap, kemungkinan ditahan, kemungkinan di penjara.

“Ketiga dibunuh, pembunuhan dalam berbagai bentuk. Kalau boleh dibunuh jasad, tak boleh dibunuh jasad, dijadikan sasaran nama untuk dibunuh. Kalau boleh dihilangkan sebarang pengaruh dengan membunuh peribadi. 

“Demikian juga cabaran yang keempat dikeluarkan dari negeri, dihalau keluar sama ada dalam bentuk kepungan yang menyebabkan terpaksa berhijrah,” ujarnya pada Tau jihat Pimpinan di Dewan Al-Hana, di sini malam tadi.

Jelasnya, dalam sebarang bentuk cabaran dihadapkan itu, akhirnya bertujuan memberi tekanan terhadap orang yang berjuang, namun pada ayat sama, Allah SWT menyatakan jaminan-Nya.

“Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya,” terjemahan maksud ayat tersebut.

Jelas Ustaz Ahmad, Allah SWT membatalkan rancangan mereka dan pengajaran itu mesti difahami oleh para pejuang bahawa hendak menegakkan kebenaran di atas muka bumi pasti menempuh cabaran-cabaran berkenaan.

“Tuan-tuan bersediakah untuk kita tempuh cabaran? Insya-Allah sebab itu adalah sunnah kepada perjuangan. Kesediaan kepimpinan kita menempuh apa jua cabaran memerlukan dukungan dan sokongan daripada kita semua.

“Sokongan dukungan itulah yang akan menguatkan lagi langkah-langkah pemimpin kita, menyusun dan mengatur strategi dan kemuncaknya insya-Allah kita akan beroleh kemenangan,” ujarnya.

Beliau meyakini, dengan semangat tersebut Perikatan Nasional akan memenangi PRN pada 12 Ogos nanti dan kekal untuk Dato’ Seri Sanusi diangkat sebagai Menteri Besar Kedah. – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -