Onana bakal penjaga gawang Man United

- Advertisement -

Manchester United menandatangani penjaga gol Cameroon, Andre Onana dari Inter Milan dengan kontrak lima tahun dan pilihan untuk setahun lagi.

Sky Sports melaporkan United akan membayar 51 juta Euro (AS$56.70 juta) untuk pemain berusia 27 tahun itu serta empat juta tambahan.

- Advertisement -

“Manchester United mempunyai sejarah panjang penjaga gol yang luar biasa. Saya akan memberikan segala-galanya untuk mencipta legasi sendiri pada tahun-tahun akan datang,” kata Onana dalam satu kenyataan.

Dia mengucapkan selamat tinggal kepada peminat Inter lebih awal, semalam.

“Saya jatuh cinta dengan San Siro, La Curva dan bandar itu. Keadaan sekarang, sesuai untuk saya memulakan perjalanan baharu di Manchester,” kata Onana.

“Saya lakukan dengan penuh semangat, tetapi saya akan merindui anda. Terima kasih tidak terhingga kepada semua ‘Interisti’. Anda menjadikan kelab ini hebat.”

United sedang mencari penjaga gol pilihan pertama baharu selepas kontrak David De Gea yang tamat pada Jun lalu tidak diperbaharui, sekali gus menamatkan tempoh 12 musim bersama Old Trafford.

Onana menyertai Inter pada Julai 2022 dari Ajax Amsterdam dan dengan pantas menjadi pilihan pertama. Dia adalah watak utama dalam kempen yang berakhir dengan Inter memenangi Piala Itali dan Piala Super. Kelab itu juga mara ke final Liga Juara-Juara.

Dia juga menjadi sebahagian pasukan Ajax yang mara dari pusingan kalah mati ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2019 sebelum penyingkiran dramatik oleh Tottenham Hotspur.

United yang menduduki tempat ketiga dalam kempen Liga Perdana 2022-23, mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara.

Onana kelihatan ditakdirkan untuk menjadi penjaga gol pilihan utama jangka panjang untuk Cameroon, tetapi memutuskan untuk bersara dari tugas antarabangsa selepas bermain hanya satu perlawanan pada Piala Dunia 2022, berikutan digantung kerana disiplin.

Dia bermain sebanyak 34 kali untuk pasukan kebangsaan. – REUTERS

- Advertisement -