Liverpool lepaskan Henderson ke Al-Ettifaq

- Advertisement -

Liverpool secara dasar bersetuju untuk melepaskan kapten Liga Perdana dan Liga Juara-Juara, Jordan Henderson melalui perjanjian bernilai 12 juta Pound (AS$15.5 juta) ke kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq.

Henderson tidak hadir ketika Liverpool menewaskan Karlsruher 4-2 dalam perlawanan persahabatan pramusim, semalam.

- Advertisement -

Perpindahan itu akan menyaksikan Henderson dikaitkan dengan pemain hebat Liverpool, Steven Gerrard yang dilantik sebagai pengurus pasukan Liga Pro Saudi.

Potensi menandatangani Henderson yang berusia 33 tahun adalah bukti terbaharu mengenai tarikan bola sepak Saudi yang semakin meningkat apabila kerajaan negara itu menyasarkan pemain terkemuka dari liga terkemuka Eropah.

Karim Benzema dan N’Golo Kante adalah antara nama bintang yang berhijrah ke Arab Saudi. Riyad Mahrez juga dijangka berpindah ke Al-Ahli selepas Manchester City dilaporkan bersetuju dengan perjanjian bernilai sehingga 30 juta Pound (AS$38.7 juta) untuk pemain sayap itu.

Bekas rakan sepasukan Henderson di Liverpool, Roberto Firmino juga menyertai Al-Ahli, manakala seorang lagi pemain Anfield, Fabinho dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi.

Henderson memenangi setiap penghormatan utama semasa berada di Merseyside, termasuk Liga Juara-Juara pada 2019 dan gelaran Liga Perdana setahun kemudian.

Kejayaan gelaran itu menamatkan penantian Liverpool selama 30 tahun untuk dinobatkan sebagai juara England.

Walaupun masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun, Henderson mungkin melihat peluang dalam pasukan pertama tergugat berikutan rombakan bahagian tengah pengurus pasukan, Jurgen Klopp.

Liverpool menandatangani Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai semasa jendela perpindahan dan dijangka menambah seorang lagi pemain tengah menjelang musim baharu.

Rombakan bahagian tengah Klopp dilakukan selepas kelab itu mengharungi kempen mengecewakan musim lalu apabila terlepas layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun dan gagal memenangi trofi.

James Milner, Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain meninggalkan kelab itu, manakala Fabio Carvalho menyertai Leipzig secara pinjaman selama semusim.

Masa depan Thiago Alcantara juga tiada kepastian dengan pemain veteran Sepanyol itu dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi. – AP

- Advertisement -