Kerajaan Madani gemar hukum pembangkang

Didi Sulaiman
- Advertisement -

SHAH ALAM: Permainan politik di Malaysia sekarang dianggap semakin menjijikkan apabila pihak yang memiliki kuasa dilihat habis-habisan menggunakan peluang yang ada.

- Advertisement -

Seorang content creator media sosial terkenal, Didi Sulaiman berkata Kerajaan Madani mempamerkan sikap menghukum pembangkang menggunakan undang-undang sehingga dikecam rakyat.

Katanya kerajaan melakukan pelbagai usaha bagi menyempitkan hak bersuara, sedangkan ketika berada di barisan pembangkang sebelum ini mereka paling hebat mengecam kerajaan bertindak sedemikian.

“Cuba kita lihat pula keadaan ekonomi sekarang, walaupun kerajaan tak mahu mengaku tetapi kita yang boleh berfikiran waras boleh merasai sendiri apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sembang Santai 2.0 Karnival Anak Muda Bangkit Selangor Baharu di Desa Alam Seksyen U12 semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Arau Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.

Didi yang lebih dikenali sebagai Didi Chronicle berkata, keadaan ekonomi negara sekarang semakin teruk.

“Saya sendiri merasai kerana membeli barang keperluan hampir setiap hari dan berjumpa dengan orang yang mengeluh dihimpit kesukaran hidup.

“Rakyat juga terbeban kerana terpaksa membayar semula hutang pinjaman rumah dengan kadar lebih tinggi selepas kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan kerajaan,” katanya.

Menurutnya juga di media sosial boleh dilihat ramai netizen mengeluh kerana semakin tersepit ekoran kenaikan kos sara hidup. – HARAKAHDAILY 20/7/2023

- Advertisement -