
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَ الْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ أَعۡظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَآئِزُونَ
Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah Taubah: 20)
Peristiwa hijrah telah mengangkat syiar Islam dalam memayungi tamadun Islam dengan bimbingan wahyu Ilahi.
Umat Islam mengimbau detik kemenangan itu sebagai suatu ibrah dan pencetus kepada semangat untuk terus memartabatkan dasar Islam dalam apa jua aspek kehidupan sama ada dalam konteks bernegara, bermasyarakat ataupun berkeluarga.
Di tahap pertama perjuangan baginda di Kota Mekah baginda terlebih dahulu membina kekuatan akidah dan takwa. Kekuatan tersebut terbina dalam watak-watak utama para sahabat yang bekorban jiwa dan raga, harta serta kaum keluarga. Mereka adalah generasi khairun ummah yakni generasi model tauladan dan generasi rabbani yang perlu menjadi contoh sepanjang zaman.
Rasululllah SAW menjadikan masjid sebagai pusat kemajuan ilmu penduduk Madinah. Membina kekuatan ukhuwah menerusi persaudaraan Muhajirin dan Ansar. Dimeterai Piagam Madinah bagi menjamin keadilan sosial, keamanan dan kesejahteran seluruh penduduk Madinah.
Negeri Kelantan dipimpin 33 tahun di bawah Dasar Membangun Bersama Islam telah terbukti menjadi teras kepada perpaduan ummah, kestabilan politik dan kesejahteraan kepada rakyat.
Rakyat Kelantan berjaya menangkis pandangan sesetengah pihak yang cuba memberikan gambaran buruk kepada keharmonian negeri yang mana hakikatnya masyarakat pelbagai kaum Cina, India, Siam dan lain-lain hidup penuh harmoni dan sejahtera.
Sempena tahun baharu 1445 hijrah ini, marilah kita tingkatkan usaha untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan bermuhasabah mudah-mudahan kita menjadi umat yang dikasihi, dirahmati dan diredhai oleh Allah SWT.
Saya menyeru kepada rakyat Kelantan agar menanamkan sifat mahabbah, silaturrahim dan semangat bantu-membantu sesama insan.
Setiap lapisan masyarakat mestilah memainkan peranan masing-masing agar perpaduan dan keharmonian negeri Kelantan secara khususnya dan negara secara umumnya dapat dikekalkan dan dipertahankan berpandukan dasar Islam.
Semoga Allah SWT sentiasa melimpahi kebaikan, keberkatan dan kesejahteraan kepada negeri Kelantan di bawah kepimpinan Membangun Bersama Islam.
“Islam Teras Penyatuan Ummah”
DATO’ BENTARA KANAN
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
1 Muharam 1445 Hijriah – HARAKAHDAILY 19/7/2023











