
ROMPIN: Seramai 80 penduduk dari tiga kampung telah mengadakan himpunan aman, hari ini bagi membantah pengoperasian sebuah kilang membakar logam bateri di Bukit Ibam.
Kebanyakan penduduk di Kampung Bukit Ibam, Kampung Buluh Nipis dan Kampung Aur mendakwa ada menghidu bau busuk yang dipercayai berpunca daripada kilang itu.
Hadir sama dalam himpunan itu, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad.
Menurut Nazri, pihaknya mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan susulan bagi menjaga alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.
Beliau difahamkan tindakan sita telah dibuat oleh pihak berkenaan, namun kilang itu beroperasi semula.
Susulan itu, katanya penduduk mengadakan bantahan bagi membuka mata semua pihak berhubung isu pencemaran udara itu yang mengganggu kehidupan mereka.
“Saya juga berharap tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar Bukit Ibam dan kampung Aur terpelihara,” katanya.
Beliau sudah membawa isu berkenaan ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah Rompin, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kemajuan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Buluh Nipis, Manan Ahoi, 43, pula mendakwa pencemaran udara disebabkan operasi kilang itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.
Ini, katanya berikutan asap yang dilepaskan itu dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya.
“Baunya amat perit, seperti wayar atau plastik terbakar. Bau itu boleh membuatkan tekak kita tidak selesa dan seperti batuk dan selesema.
Sehubungan itu, beliau sebagai wakil penduduk khuatir akan keselamatan dan kesihatan ahli keluarga serta penduduk kampung yang terlibat.
Bagi wakil penduduk Kampung Bukit Ibam, Sabarudin Yusof, 49, proses peleburan logam itu dipercayai dilakukan pada waktu malam sejak tiga tahun lalu yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk.
Katanya, isu berkenaan perlu diambil tindakan segera oleh agensi terlibat kerana kesihatan penduduk lebih utama. – HARAKAHDAILY 19/7/2023











