Agensi Pusat disaran bantu rancak pelaburan di Perlis

- Advertisement -

PADANG BESAR: Projek pembangunan kilang elektronik oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dijangka dapat merancakkan lagi pembangunan ekonomi dan pelaburan bagi menyumbang limpahan ekonomi di Perlis.

- Advertisement -

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, majlis pecah tanah pembinaan kilang itu, bakal membuka lembaran baharu kepada pembangunan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).

“Daripada aspek peningkatan taraf hidup dan pendapatan rakyat, projek tersebut dilihat membantu rakyat negeri ini.

“Diharapkan MRCB dapat memberi keutamaan kepada rakyat Perlis bagi merebut peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan,” titah baginda merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan fasiliti pengeluaran kilang elektronik di CVIA di sini, semalam.

Baginda juga berharap MRCB memberi sepenuh komitmen dalam memastikan pembangunan projek tersebut dapat disiapkan seperti dirancang.

“Hebahan awal berhubung pembangunan projek ini juga perlu diberikan kepada rakyat dan masyarakat supaya ia berada dalam pengetahuan ramai.

“Tahniah dan syabas kepada MRCB kerana mengambil usaha untuk membangunkan fasiliti pengeluaran kilang elektronik di CVIA ini,” titah baginda.

Turut hadir Menteri Besar Mohd Shukri Ramli: Naib Presiden Eksekutif MRCB, Dato’ Ishak Mohamed; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MRCB, Kwan Joon Hoe; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof.

Titah baginda lagi, kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan NCIA diharap akan melipatgandakan lagi usaha membawa masuk lebih banyak pelaburan besar ke Perlis khususnya di kawasan CVIA.

“Usaha ini juga harus disokong oleh Kementerian Ekonomi dan juga jabatan serta agensi kerajaan Persekutuan yang lain seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” titah baginda. – HARAKAHDAILY 19/7/2023

- Advertisement -