Laluan selesa Maghribi ke Piala Dunia 2026

- Advertisement -

Pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar, Maghribi mendapat laluan selesa ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada selepas undian dibuat untuk kelayakan Afrika di Abidjan, semalam.

Pasukan teratas dalam setiap sembilan kumpulan yang masing-masing mengandungi enam negara, layak secara automatik ke Piala Dunia.

- Advertisement -

Empat naib juara terbaik akan memasuki peringkat playoff Afrika dengan pemenang akan beraksi dalam playoff antara konfederasi pada Mac 2026.

Ini bermakna Afrika dijamin sembilan tempat pada pusingan akhir yang kini diperluaskan kepada 48 pasukan dengan pasukan ke-10 mungkin ditambah melalui playoff.

Maghribi diundi bersama Zambia, Congo-Brazzaville, Tanzania, Niger dan Eritrea, menjadi pilihan utama untuk menduduki tempat teratas.

Mereka mengharungi laluan mendebarkan ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar tahun lepas, pasukan Afrika pertama yang berjaya mara ke peringkat itu di Piala Dunia dan menamatkan saingan di tempat keempat.

Juara Afrika, Senegal menghadapi laluan sukar apabila sekumpulan dengan Republik Demokratik Congo dan pasukan sukar diramalkan, Mauritania. Mereka juga bertemu finalis Piala Dunia 2006, Togo serta dua pasukan Sudan, iaitu Sudan dan Sudan Selatan.

Nigeria dan Afrika Selatan, dua negara yang bersaing hebat sejak dahulu pula digandingkan bersama Benin, Zimbabwe, Rwanda dan Lesotho.

Terdapat juga pertembungan hebat negara Afrika barat dalam Kumpulan I apabila Mali bertemu Ghana. Kedua-dua negara juga akan menghadapi pasukan licik Madagascar, Republik Afrika Tengah, Comoros dan Chad.

Tunisia yang menyertai lima daripada tujuh Piala Dunia terakhir, kelihatan mempunyai peluang untuk layak sekali lagi. Mereka bertemu Equatorial Guinea, Namibia, Malawi, Liberia dan Sao Tome e Principe.

Algeria yang terlepas ke Piala Dunia 2022 dengan cara menyayat hati apabila kalah playoff kepada Cameroon, mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan itu apabila diletakkan bersama Guinea, Uganda, Mozambique, Botswana dan Somalia.

Dua perlawanan pertama kumpulan akan diadakan antara 13-21 November 2023, manakala dua perlawanan terakhir antara 6-14 Okt, 2025. Perlawanan playoff Afrika dijadualkan antara 10-18 November 2025.

Kumpulan kelayakan Piala Dunia Afrika:

Kumpulan A: Mesir, Burkina Faso, Guinea-Bissau, Sierra Leone, Ethiopia, Djibouti

Kumpulan B: Senegal, Republik Demokratik Congo, Mauritania, Togo, Sudan, Sudan Selatan

Kumpulan C: Nigeria, Afrika Selatan, Benin, Zimbabwe, Rwanda, Lesotho

Kumpulan D: Cameroon, Cape Verde, Angola, Libya, Eswatini, Mauritius

Kumpulan E: Maghribi, Zambia, Congo, Tanzania, Niger, Eritrea

Kumpulan F: Ivory Coast, Gabon, Kenya, Gambia, Burundi, Seychelles

Kumpulan G: Algeria, Guinea, Uganda, Mozambique, Botswana, Somalia

Kumpulan H: Tunisia, Guinea Khatulistiwa, Namibia, Malawi, Liberia, Sao Tome e Principe

Kumpulan I: Mali, Ghana, Madagascar, Republik Afrika Tengah, Comoros, Chad. – REUTERS

- Advertisement -