
KANGAR: Kerajaan Perlis akan mewujudkan rangkaian bagi mengumpulkan produk-produk keluaran tempatan di satu tempat untuk menarik perhatian pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Perusahaan Perladangan dan Komuditi, Razali Saad berkata, produk tempatan akan diketengah bagi memudahkan pelancong yang datang ke Perlis mendapatkan produk tersebut.
Antaranya kata beliau Kopi Radix keluaran HPA Industries yang terkenal dengan ‘tagline’ mai secawan.
“Saya berbangga dengan produk islamik yang dikeluarkan pengusaha tempatan. Kami berharap dapat membina rangkaian bagi mengenengahkan produk tempatan di Perlis.
“InsyaAllah kita akan wujudkan satu tempat khas untuk pengedaran bagi memudahkan pengunjung mendapatkan produk terbabit,” katanya selepas melawat Kilang HPA di Jejawi semalam.
Herba Penawar Al-Wahida atau HPA Industries Sdn Bhd (HPA) diasaskan Ismail Ahmad, 60 sejak lebih tiga dekad lalu.
Anak jati Kampung Changkat Lada, Mata Ayer itu merupakan generasi ketiga mewarisi perniagaan yang dimulakan datuknya.
HPA mula diusahakan pada 1986 bermula dengan penghasilan produk-produk kesihatan berasaskan herba.
Ketika kemuncak kegemilangannya HPA mampu merekodkan jualan sehingga RM75 juta sebulan pada 2005 dan mempunyai seramai 4,000 pekerja.
Razali juga berkata, HPA terkenal dengan Kopi Radix yang terkenal di Malaysia selain dari pelbagai produk lain yang dikeluarkan pihak syarikat terbabit. – HARAKAHDAILY 12/7/2023











