
VILNIUS: Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan bersetuju untuk mengemukakan kepada parlimen negaranya berhubung tawaran Sweden untuk menyertai pakatan tentera NATO, sekali gus menamatkan drama selama berbulan-bulan berhubung isu yang membebankan blok itu ketika perang melanda Ukraine.
Sweden dan Finland memohon keahlian NATO, meninggalkan dasar berkecuali yang berlangsung selama beberapa dekad Perang Dingin sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine
Walaupun keahlian Finland mendapat lampu hijau pada April lalu, Turkiye dan Hungary tidak memberi jawapan yang sama terhadap tawaran Sweden. Stockholm berusaha untuk menyertai blok itu pada sidang kemuncak perikatan itu di ibu kota Lithuania, Vilnius, yang bermula hari ini.
“Saya gembira untuk mengumumkan … Presiden Erdogan bersetuju untuk memajukan protokol penyertaan Sweden ke perhimpunan agung negaranya secepat mungkin, dan bekerjasama rapat dengan perhimpunan itu untuk memastikan pengesahan,” kata Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg.
Beliau berbincang bersama Erdogan dan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, selama beberapa jam pada malam sebelum sidang kemuncak itu dalam usaha untuk memecahkan kebuntuan.
Erdogan yang bertahan selama berbulan-bulan, berkata penyertaan Sweden bergantung pada pelaksanaan perjanjian yang dicapai tahun lalu semasa sidang kemuncak perikatan di Madrid dan tiada siapa yang patut mengharapkan kompromi daripada Ankara.
Turkiye menuduh Sweden tidak melakukan secukupnya terhadap pihak yang dilihat Turkiye sebagai pengganas, terutama ahli Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan dilabelkan sebagai pertubuhan pengganas oleh Turki, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.
Erdogan dan Kristersson kelihatan santai menjelang pertemuan itu, dengan pemimpin Sweden itu bergurau mengenai pesawatnya yang diletakkan di sebelah pesawat Turki yang lebih besar di lapangan terbang Vilnius.
“Ini adalah hari yang baik untuk Sweden,” kata Kristersson mengenai kenyataan bersama semalam, yang mewakili “langkah yang sangat besar” ke arah pengesahan akhir keanggotaan Sweden dalam NATO.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara menyatakan bahawa Sweden mengulangi tidak akan memberikan sokongan kepada kumpulan Kurdish dan akan secara aktif menyokong usaha untuk menggiatkan semula proses penyertaan Turkiye ke dalam EU.
Semalam, Erdogan berkata EU harus membuka jalan untuk penyertaan Ankara ke blok itu sebelum Parlimen Turkiye meluluskan tawaran Sweden untuk menyertai pakatan tentera NATO.
Stoltenberg berkata, Erdogan bersetuju untuk mempercepatkan pengesahan di parlimen, tetapi tidak dapat memberikan tarikh tertentu yang dijangka mengambil masa dua minggu seperti ketika Parlimen Turkiye mengesahkan keahlian Finland.
Selepas ketua kakitangan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban berkata, Budapest tidak lagi menghalang pengesahan keahlian NATO Sweden, kelulusan Turkiye akan menghapuskan halangan terakhir untuk penyertaan Sweden ke NATO, permohonan yang mesti diluluskan oleh semua ahli. – REUTERS











