
SEREMBAN: Naib Presiden PAS, Dato’ Ustaz Idris Ahmad mengingatkan Umno bahawa mereka semakin lemah bermula Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan tewas pada PRU14 dan PRU15 adalah kerana serangan kuat daripada Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Kata beliau, dengan kekalahan itu menyebabkan Umno melalui detik hitam dan sukar menjadi pembangkang selama 22 bulan selepas PRU14 walaupun sebelum itu mereka hidup senang sebagai kerajaan.
“Kawan-kawan kita di kalangan Umno kena ingat Umno pada hari ini dan bermula daripada PRU yang ke-12 yang lingkup yang jahanam antaranya ialah kerana serangan yang kuat sekali ialah daripada DAP.
“Kami dalam PRU15 baru-baru ini, walaupun bertanding di dalam keadaan kita katakan antara Umno dan PERIKATAN NASIONAL, dan di sebelah sana pihak PH, kita telah mengarahkan bahawa musuh kita dalan pilihan raya ini ialah PH (Pakatan Harapan), bukan Umno.
“Kita anggap Umno ini masih boleh kita buat rakan sekutu selepas pilihan raya. Itu harapan kita. Kami tak anggap Umno Itu sebagai yang berbahaya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap di dalam majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di pekarangan Dewan KRS Warisan Puteri Sikamat, Bandar Warisan Puteri, di sini, malam tadi.
Malah, kata Ustaz Idris, pada masa itu PH-DAP berkempen dengan membawa naratif bahawa undi PERIKATAN NASIONAL dan Umno akan dapat Zahid.
“Ini yang mereka dakwa. Undi Umno akan dapat Zahid. Ini sifat yang mereka (PH-DAP) tanam habis-habisan untuk memastikan bahawa Umno ini lenyap begitu,” ujarnya.
Katanya, pada masa itu PAS tetap cuba merundingkan 27 kerusi kritikal bersama Umno kerana bimbang ia akan jatuh ke tangan PH-DAP jika berlaku pertembungan tiga penjuru.
Malah PAS-Bersatu pada masa itu rela mengambil hanya mengambil 10 daripada kerusi itu sementara 17 lagi untuk Umno, namun, jelas Ustaz Idris, Umno pada masa itu menolak cadangan itu dan menzahirkan keyakinan akan menang dan mendapat sokongan rakyat.
“Kami kata kalau itu yang berlaku, OK. Kita cakap kita akan buat coalition selepas pilihan raya. Kita nak bercakap soal penyatuan. Pentingnya soal penyatuan ini. Tetapi selepas daripada pilihan raya, yang mereka cari ialah DAP. Mereka tak cari PAS, mereka tak cari Bersatu,” ujar beliau.
Tambahnya, Umno marah kepada Bersatu dan menuduh mereka ini pengkhianat sedangkan sewajarnya PAS yang sepatutnya lebih marah kepada Umno atas sejarah pertembungan yang panjang, namun PAS berjiwa besar.
“Sekurang-kurangnya Bersatu menyelamatkan kamu (Umno) daripada menjadi pembangkang kepada menjadi kerajaan. Tan Sri Muhyiddin dengan hati yang terbuka terima.
“Selepas tu pula kamu jatuhkan dia pula. Tak apa, asalkan kita anggap kuasa masih di tangan kita, masih sanggup terima. Nak apa lagi? Ini konsep besarnya jiwa kita dalam kita nak bersama-sama dengan masyarakat,” ujar beliau.
Pelancaran jentera malam tadi telah disempurnakan oleh Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan gimik pelepasan kenderaan kempen rasmi PN bagi setiap DUN.
Selain Muhyiddin, turut berucap ialah Timbalan Pengerusi PN yang juga Pengerusi Perhubungan PN Negeri Sembilan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat (GERAKAN), Mak Kah Keong. – HARAKAHDAILY 10/7/2023











