Provokasi LGE sahkan ‘Gelombang Hijau’ sasaran Islamofobia

- Advertisement -

KENYATAAN provokasi Lim Guan Eng bahawa Gelombang Hijau akan memusnahkan tokong dan sembahan dewa dan Buddha jika menguasai negeri tersebut mengesahkan pendirian yang dibuat Tuan Guru Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang bahawa Gelombang Hijau dijadikan sasaran Islamofobia dalam negara. 

Tidak menghairankan bagaimana masih ada dalam kalangan bukan-Islam yang takut dengan agama Islam itu sendiri walaupun selepas enam dekad negara mencapai kemerdekaan. 

Hal yang demikian adalah disebabkan kenyataan-kenyataan menyeleweng mengenai Islam yang disampaikan daripada mulut-mulut ahli politik khususnya daripada parti DAP.

Daripada satu sudut, kenyataan Guan Eng itu menggambarkan sikap prejudis beliau terhadap Islam dan cuba mengikis sokongan tidak belah bahagi masyarakat Islam kepada agenda Islam dalam negara ini. 

Daripada sudut yang lain, Gelombang Hijau yang dirujuk kepada sokongan terhadap PAS diangkat dengan naratif Islamofobia. Kesemua ini adalah tindakan untuk menakut-nakutkan masyarakat bukan-Islam terhadap Islam yang sentiasa menjadi medan perjuangan DAP itu sendiri.

Lim Guan Eng sepatutnya meneliti terlebih dahulu apa yang berlaku di Kelantan dengan sebuah patung Buddha masih kekal di sana meskipun parti ‘hijau’ mentadbir negeri berkenaan sejak tahun 1990. 

Malah, masyarakat China khususnya dan bukan-Islam amnya boleh berasimilasi dengan budaya setempat malah menggunakan dialek Kelantan sendiri serta hidup dalam keadaan harmoni. Tidak sesekali hak bukan-Islam diceroboh meskipun Islam diangkat sebagai dasar pentadbiran di sana sejak PAS memerintah.

Sepatutnya beliau bertanya mengapa sehingga kini di sebahagian tempat masyarakat bukan-Islam masih tidak dapat berasimilasi dengan budaya setempat masyarakat Melayu, kalau bukan disebabkan naratif Islamofobia yang diperjuangkan DAP itu sendiri. 

DUPP menyatakan tekad bahawa kenyataan Guan Eng itu juga adalah sebahagian ‘gula-gula’ menakutkan golongan bukan-Islam yang mula beralih kepada PERIKATAN NASIONAL. Insya-Allah ia adalah signal jelas kebimbangan pakatan PH-BN yang diterajui DAP menjelang PRN kelak.

YB DATO’ USTAZ  AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -