
ALOR SETAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kedah akan menampilkan calon-calon yang mempunyai faktor ‘wow” pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, kesemua 36 calon yang akan diumumkan pada 21 Julai ini mempunyai pelbagai latar belakang dan mencakupi keperluan sesebuah kerajaan negeri.
“Kalau dunia sekarang bercakap berkenaan faktor ‘wow’, calon-calon PN untuk PRN ini adalah calon-calon ‘wow’.
“Kalau bercakap dari sudut kabinet bayangan untuk menjadi kerajaan, ia mencakupi di segenap segmen dan aspek yang diperlukan oleh sesebuah kerajaan negeri,” jelasnya pada temubualnya bersama Harakadaily, di sini, hari ini.
Tegas Ahmad lagi, calon-calon yang akan diketengahkan nanti, mempunyai kombinasi sama ada umur, jantina, latar belakang, pendidikan, kepakaran dan lain-lain.
Malah PN juga. ujarnya menampilkan mereka (calon) dari kalangan ulama, aktivis parti, pengamal undang-undang, profesional, ahli akedemik, tokoh sukan, pentadbir, tokoh belia dan pemimpin masyarakat, ujarnya.
“Paling muda berumur 34 tahun dan kita yakin kombinasi usia, kepakaran, kebolehan dan latar belakang mampu menyentuh semua segmen masyarakat khususnya di Kedah.
“Lebih-lebih lagi nak capai satu kedudukan negeri yang lebih baik iaitu The Greater Kedah, perlulah tampilkan kombinasi yang terbaik dari kalangan calon-calon,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 10/7/2023
Temu bual penuh dalam akhbar Harakah.











