Kedah mahu berada sebaris negeri maju di Lembah Klang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dirancang kerajaan negeri sebagai ‘cargo airport’ dan bukan lapangan terbang berasaskan penumpang.

- Advertisement -

KXP juga tidak akan menjadi saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) kerana fungsinya berbeza.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, KXP tidak akan menjadi saingan, sebaliknya pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Malah ia juga berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ pada masa hadapan.

“Pembangunan KXP amat signifikan dalam konteks pembangunan ekonomi Wilayah Utara,” katanya pada program Libat Urus dan Road Show Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli di Kedah Royal Club di sini semalam. (Foto atas)

Oleh itu Sanusi berkata, kerajaan negeri amat berharap beliau diberi peluang menjelaskan kepentingan projek tersebut kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri.

Begitu juga pembangunan Kedah Aerotropolis perlu mendapat pertimbangan kerajaan Persekutuan bagi mengukuhkan lagi ekosistem industri dan pengangkutan di negeri itu.

Aerotropolis merangkumi Aerocity dan Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing Hub (SLAM) selain KXP sendiri.

“Kedah bercita-cita untuk meletakkan negeri ini sebaris dengan negeri-negeri maju lain terutamanya di sekitar Lembah Klang.

“Saya yakin Kedah juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri maju lain,” ujarnya.

Menurutnya juga kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sekarang dalam proses pembesaran kepada Fasa 4A dan Fasa 5.

Beliau juga berkata, bermula tahun 2021 hingga suku tahun pertama 2023, Kedah berjaya meraih secara komulatif pelaburan bernilai RM82.57 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang positif pada kadar 3.2 peratus (2021) dan meningkat kepada 7.2 peratus pada 2022,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -