
ALOR SETAR: Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah, K Kumaresan mengharapkan agar isu perkauman tidak dicetuskan terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Katanya, kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang disiarkan oleh media tempatan Sabtu lalu kononnya ‘gelombang hijau’ akan memusnahkan rumah ibadat Buddha sekiranya mengambil alih Pulau Pinang, adalah tidak wajar.
“Sepanjang tiga tahun Kedah ditadbir Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan PERIKATAN NASIONAL (PN), kaum bukan Islam hidup aman tanpa diskriminasi.
“Malah Sanusi juga bertoleransi dan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada kaum lain termasuk pada hari-hari perayaan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Sementara ujar Kumar, sepanjang tempoh beliau menyertai DHPP, PAS juga tidak pernah memaksanya memeluk Islam atau menyekat mengamalkan tuntutan agamanya.
Tambahnya lagi, kaum bukan Islam tidak perlu takut dengan PAS kerana parti itu sentiasa mematuhi dan menjulang tinggi Perlembagaan negara.
“PAS tidak rasis. Jadi tidak perlu takut. Jangan terpedaya dengan dakyah musuh politiknya yang sengaja timbulkan isu untuk mengelirukan kaum bukan Islam,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 10/7/2023











