
Jurulatih baharu pasukan kebangsaan Brazil, Fernando Diniz, yakin akan mempunyai autonomi untuk bekerja dan tidak akan mengalami sebarang gangguan daripada Carlo Ancelotti, yang bakal menggantikannya tahun depan.
“Saya akan mempunyai kebebasan untuk bekerja dan tidak akan ada gangguan,” kata Diniz pada sidang media di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) sehari selepas dinamakan sebagai jurulatih Brazil selama 12 bulan akan datang.
Selepas memperkenalkan Diniz, Presiden CBF Edinaldo Rodrigues, mengulangi kenyataan bahawa Ancelotti yang kini mempunyai kontrak bersama Real Madrid sehingga pertengahan tahun depan, akan mengetuai pasukan kebangsaan Brazil pada separuh kedua 2024.
“Dia (Ancelotti) akan berada di sana, anda boleh yakin,” kata Rodrigues, tetapi memberitahu bahawa jurulatih Itali itu mempunyai kata pemutus mengenai tarikh kedatangannya.
Sehari sebelum itu, apabila mengesahkan pengambilan Diniz yang akan membahagikan masa antara kelabnya sekarang, Fluminense, dan pasukan kebangsaan Brazil – Rodrigues berkata, Ancelotti akan mengambil alih pasukan bermula dengan Copa América 2024 yang akan diadakan antara 20 Jun hingga 14 Julai.
Diniz mengambil alih pasukan kebangsaan Brazil selepas pasukan itu mengalami kekalahan dalam perlawanan persahabatan menentang Maghribi dan Senegal, tahun ini.
Beliau memuji penyerang Neymar dan tidak menolak kerjasama antara pemain Paris Saint-Germain itu dan bekas rakannya di Santos, Paulo Henrique Ganso yang kini dilatih oleh Diniz di Fluminense. – REUTERS











