
Penyerang Paris St Germain (PSG), Kylian Mbappe mesti menandatangani kontrak baharu jika mahu kekal di kelab itu kerana juara Perancis itu tidak akan membenarkannya pergi secara percuma, tahun depan, kata Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.
Mbappe menghantar surat kepada PSG bulan lalu, menyatakan bahawa dia tidak berhasrat untuk melanjutkan kontraknya, yang akan tamat pada 2024.
Bagaimanapun, Mbappe kemudian menjelaskan bahawa dia tidak meminta kelab Perancis itu membenarkannya berpindah ke gergasi Sepanyol, Real Madrid, yang pernah mencuba tetapi gagal mendapatkan penyerang itu.
PSG berdepan dilema untuk membenarkan Mbappe menghabiskan tahun terakhir kontraknya dan tidak dapat mendapat sesen pun daripada 180 juta Euro (AS$195.71 juta) yang dilaburkan pada 2017 untuk menandatanganinya dari AS Monaco.
“Pendirian saya sangat jelas. Saya tidak mahu mengulanginya berulang kali: jika Kylian mahu kekal, kami mahu dia kekal. Tetapi dia perlu menandatangani kontrak baharu,” kata Al-Khelaifi kepada wartawan selepas mengmumkan Luis Enrique sebagai pengurus baharu kelab itu.
“Kami tidak mahu kehilangan pemain terbaik di dunia secara percuma, kami tidak boleh melakukannya. Ini adalah kelab Perancis.
“Dia berkata tidak akan pergi secara percuma. Jika dia berubah fikiran hari ini, itu bukan salah saya. Kami tidak mahu kehilangan pemain terbaik dunia secara percuma, itu sangat jelas.”
Mbappe menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak Ligue 1 dalam lima musim terakhir dan PSG kelihatan terdesak untuk mengekalkannya setelah kehilangan Lionel Messi secara percuma.
Messi, pemenang Ballon d’Or tujuh kali, memilih untuk tidak memperbaharui kontraknya untuk berpindah ke Inter Miami.
Mbappe juga berkata, Presiden Perancis Emmanuel Macron tidak mempunyai pengaruh terhadap pilihan kerjayanya selepas pemimpin itu berkata dia akan mendesak penyerang itu untuk kekal di ibu negara itu. – REUTERS











