Kesesakan: MP Kuantan tinjau projek pembetungan

- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Parlimen (MP) Kuantan, Wan Razali Wan Nor meninjau perkembangan semasa Projek Pembetungan Kuantan (PPK) di Kampung Kempadang dan Pak Mahat, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Ini susulan pihaknya mendapat banyak aduan kesesakan jalan khususnya pada waktu puncak.

“Kita dapat banyak aduan kesesakan jalan khususnya pada waktu puncak, awal pagi dan waktu balik kerja. Dan salah satu sebabnya satu lorong jalan ditutup kerana pembinaan projek ini.

“Jadi kita nak lihat dan bincang bagaimana untuk selesaikan masalah ini,” ujarnya. Turut serta ialah Pengurus Projek PPK daripada syarikat Jalur Cahaya Sdn Bhd, Razali Mohamad.

Projek PPK bermula pada awal tahun 2018 dan jangkaan asal dapat disiapkan pada pertengahan tahun ini.

Namun terdapat masalah teknikal ketika proses pembinaan seperti batuan besar, kuantiti pasir yang banyak, tekanan air yang tinggi serta kewujudan gas di beberapa lokasi.

Selain itu, projek itu turut menyebabkan kesesakan lalulintas di beberapa lokasi.

Terdapat lima lokasi masih dalam pembinaan sepanjang Jalan Tanjung Lumpur sekitar Kampung Kempadang.

Menurut Razali, terkini pihak kontraktor telah menambah satu lagi jentera bagi mempercepatkan pembinaan di kawasan tersebut.

“Kami usaha siapkan satu main hole di laluan dari bandar Kuantan ke arah Kempadang terlebih dahulu dalam waktu terdekat.

“Jadi masa balik kerja dapat kurangkan kesesakan,” ujarnya.

 Wan Razali turut meninjau loji rawatan kumbahan yang terletak di Pak Mahat yang berkapasiti sehingga 45,000 meter padu.

Keseluruhan struktur bangunan loji telah siap sepenuhnya dan dalam proses pemasangan peralatan mekanikal dan elektrikal. – HARAKAHDAILY 6/7/2023

- Advertisement -