Jangan semua nak tala kepada kerajaan negeri – Sanusi

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak 23 rancangan yang belum dilaksanakan di Kampung Iboi, Kupang adalah projek kerajaan persekutuan bukannya negeri, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Beliau berkata, projek itu adalah di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

“Jangan semua nak tala (hala) kepada kerajaan negeri. 23 rancangan yang belum dilaksanakan itu adalah di bawah kerajaan persekutuan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman selepas mesyuarat mingguan Exco, hari ini.

Semalam, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid dan bekas Ahli Parlimen Baling, Dato’ Seri Abdul Azeez Rahim hadir ke Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi yang diadakan berhampitan jambatan bailey, Kampung Iboi.

Pada majlis itu Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain memohon agar 23 pembangunan baik pulih infrastruktur yang perlu diberi keutamaan dilaksanakan dengan segera.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, untuk memastikan pembangunan itu segera dilaksanakan, penyelarasan antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri diperlukan kerana tanpa koordinasi itu penduduk menjadi mangsa.

Sanusi menjelaskan, kerajaan negeri hanya mengumumkan dan berjanji untuk mendirikan rumah ganti kepada 12 keluarga yang hilang tempat tinggal pada kejadian setahun lalu dan sudahpun ditunaikan.

“23 projek yang belum dilaksanakan itu semuanya di bawah pengendalian kerajaan persekutuan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan sikap bekas Ahli Parlimen Baling yang cuma memberi gambaran buruk kononnya kerajaan negeri ‘lumpuh’ ekoran kejadian 4 Julai tahun lalu.

Jelasnya, apabila berlaku bencana, semua pengurusan terbabit akan dikendalikan oleh pegawai daerah di bawah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bukannya dipikul oleh ahli parlimen.

“Dia (Azeez) bercakap di parlimen tahun lalu, kononnya semua perancangan di lokasi kejadian, dia yang atur, kerajaan negeri lumpuh, tak boleh buat apa.

“Tidak boleh bercakap demikian, kerana kerajaan negeri ada agensi yang menguruskannya. Bila saya marah dan tegur sikap dia, dia kata saya ajak dia bertumbuk,” kata beliau.

Semalam, katanya sekali lagi bekas Ahli Parlimen Baling itu mengulang kata-kata menuduh beliau mengajaknya bertumbuk.

Walhal katanya, beliau hanya menasihatkan Azeez ‘kalau nak berkawan elok-elok, nak bergaduh senang sahaja’.

“Satu lagi, dia lapor di parlimen dulu, terdapat 2,000 buah motosikal hilang dalam sungai. Bila buat bancian tak ada pun. Dia tuduh mandi mayat dengan ayaq (air) selut.

“Dok kata kerajaan negeri tak buat apa. Semua itu boleh menimbulkan pergaduhan. Lawak ka apa tak tau, 2,000 buah motor hanyut, filem Tamil ka apa,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -