Insiden tembak: Lima saksi dipanggil

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
- Advertisement -

IPOH: Polis memanggil lima saksi untuk dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian tembakan oleh penyerang tidak dikenali dalam kejadian di Kuala Gula, dekat Bagan Serai, Selasa lepas.

- Advertisement -

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan berhubung kes itu dijangka diselesaikan dalam masa terdekat selepas kertas siasatan kejadian itu dilengkapkan sepenuhnya.

Beliau berkata sehingga kini, pihaknya telah merakam lebih lima keterangan daripada saksi, namun siasatan lanjut dan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk suspek yang terlibat.

“Kita menjangkakan siasatan kes berkenaan tidak akan mengambil masa lama dan kita akan selesaikan kes ini dengan seberapa segera. Kita seru juga kepada orang awam yang mempunyai maklumat untuk salurkan di balai polis berdekatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Program Ceramah Kerjaya Meniti Karier dalam Polis Diraja Malaysia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy di sini.

Media melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Kuala Gula dekat Bagan Serai, pada Selasa.

Polis menjumpai lima kelongsong peluru kaliber 9mm di tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1971. 

Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mangsa dan keluarga di rumah berkenaan.

Sementara itu, berkenaan program pada hari ini, Mohd Yusri berharap lebih ramai kaum Cina akan menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah menambah baik perkhidmatan pasukan keselamatan itu di negeri ini.

“Kita telah susun pelbagai program serta usaha promosi melalui penganjuran program pendedahan kepolisan di sekolah untuk tarik minat mereka menceburi kerjaya sebagai anggota polis,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -