
BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah apabila tersenarai sebagai universiti muda terbaik di dunia di kedudukan ke 501-601.
Perkara itu diumumkan Times Higher Education (THE) Young Universiti Ranking 2023.
Pengumuman itu dibuat pada laman sesawang THE pada 3 Julai lepas dengan meletakkan UMK tersenarai pada kedudukan 501+ dari 963 universiti muda di seluruh dunia.
Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Dr Razli Che Razak berkata, berita gembira itu merupakan rentetan daripada pencapaian terbaik UMK dalam THE World Universiti Ranking 2023, di mana UMK tersenarai buat pertama kali di kedudukan 1201-1500.
Katanya, kejayaan itu berlandaskan pencapaian UMK di THE World Universiti Ranking Asia 2023 apabila berada kedudukan 501-600 yang meletakkan UMK sebaris dengan universiti bertaraf dunia.
“Dalam tempoh 17 tahun, UMK mula ditubuh pada 1 September 2006 dan memulakan pengambilan pertama pada Julai 2007 dan menunjukkan prestasi cemerlang berbanding universiti-universiti lain yang sudah lama.
“Kejayaan ini dilihat apabila UMK mampu menyediakan kualiti pendidikan dengan penawaran bidang akademik dan penyelidikan yang merentasi sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu UMK juga menjalinkan kerjasama melalui penglibatan industri yang setanding dengan nama-nama besar lain.
Razli juga berkata lagi, Times Higher Education (THE) Young Universiti Ranking 2023 menggunakan 13 penunjuk prestasi yang sama seperti THE World University Ranking. – HARAKAHDAILY 4/7/2023











