
PORT DICKSON: Kerajaan perlu meningkatkan kemudahan infrastruktur yang diperlukan di Pantai Bagan Pinang di sini, jika mahu aktiviti rekreasi pelancongan perikanan dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Menurut Setiausaha My Komuniti Perikanan (MyKP) Bagan Pinang, Mazuan Mohd Noor, 40, walaupun program rekreasi pelancongan perikanan telah dilaksanakan hasil galakan Jabatan Perikanan di sini, infrastruktur sedia ada sangat mendukacitakan.
“Sebagai contoh dekat sini, kita ada perkhidmatan ‘canoes fishing’ (memancing berkayak). Kita promosi di media sosial. Sampaikan pelancong dari Kanada pun ada hubungi kita berminat nak datang.
“Tetapi bila mereka datang kita dekat sini, pejabat operasi pun kita tak ada. Kita berurusan macam ni sajalah, bawah pondok ni. Jadi nampak tidak sempurna dan tidak profesional bila pelancong terutama dari luar datang,” ujarnya.
Jelas beliau, program MyKP di bawah Jabatan Perikanan memang menyediakan program yang baik dalam soal menambah pendapatan nelayan daripada hanya menangkap ikan kepada aktiviti hiliran seperti ‘canoes fishing’ dan kedai makan, namun kemudahan infrastruktur sedia ada tidak dapat menampung perkembangan rancak aktiviti ini.
Katanya lagi, kemudahan yang ada di sini sekadar sangat bersifat asas, walaupun tidak sampai kepada menyukarkan kegiatan nelayan di sini, namun tidak sepadan dengan pantai ini yang dikenali sebagai pantai pelancongan.
“Kalau kita tengok tempat kita ‘parking’ bot pun biasa sahaja. Tidak menarik dari segi pandangan pengunjung. Kalau boleh kerajaan dapat buatkan yang lebih sempurna,” ujarnya.
Selain itu, kawasan ini tidak mempunyai kemudahan tandas awam yang sempurna yang boleh digunakan oleh pengunjung-pengunjung.

“Dekat kawasan ni orang selalu berkhemah. Ada yang datang mandi, ambil angin. Tetapi tidak ada tandas yang sempurna. Ada tandas, tapi dekat medan selera berhampiran.
“Tapi tandas medan selera tu buka sehingga jam empat atau lima petang. Kalau pengunjung datang jam enam petang atau jam lapan malam ambil angin, tak ada tandas nak digunakan,” ujar beliau.
Beliau turut mencadangkan agar diwujudkan galeri pameran yang mempamerkan gambar lama atau bahan kenangan berkaitan aktiviti dan masyarakat nelayan di sini sebagai tarikan pelancong.
Mengulas tentang aktiviti rutin nelayan di sini, beliau menzahirkan kebimbangan dengan hasil tangkapan yang semakin berkurang sejak akhir-akhir ini, terutama ketam yang menjadi antara hasil tangkapan utama nelayan di sini.
“Memang sejak beberapa tahun ini, hasil tangkapan sangat berkurangan. Iyalah, memang tidak nafikan bila ada pembangunan memanglah akan menjejaskan hasil laut.
“Pantai Bagan Pinang ini pun sebelum ini memang telah ditambak. Bila dah tambak memang akan ada kesan pada hidupan laut, terumbu karang tertimbus, dan ikan tidak dapat membiak dengan baik,” katanya.
Tambahnya lagi, dahulu nelayan di sini boleh menangkap ikan merah di sekitar pantai ini kerana kurang pencemaran dan tiada gangguan pada alam sekitar, namun pada masa ini tidak lagi boleh dilakukan kerana terlalu banyak gangguan pada pantai dan laut. – HARAKAHDAILY 4/7/2023











