Jota sertai juara Arab Saudi, Al-Ittihad

- Advertisement -

Pemain sayap Celtic, Diogo Jota menjadi bintang bola sepak terbaharu menyertai juara Liga Pro Arab Saudi, Al-Ittihad dengan kontrak tiga tahun.

Butiran kewangan tidak didedahkan, tetapi media Scotland melaporkan bahawa yuran perpindahan mencecah 25 juta Pound (AS$31.73 juta).

- Advertisement -

Al-Ittihad mengumumkan pembelian pemain itu dengan menerbitkan video animasi jurulatih, Nuno Espirito Santo menonton jaringan Jota.

“Kami mahu menakluk dunia,” kata bekas jurulatih Wolverhampton Wanderers itu dalam video dengan latar belakang Piala Dunia Kelab FIFA.

Al-Ittihad akan menyertai Piala Dunia Kelab FIFA yang akan diadakan di Jeddah pada Disember akan datang sebagai juara liga negara tuan rumah.

Jota, 24, menjadi pemain ketiga Al-Ittihad selepas pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema dan bekas pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante.

Bekas penyerang Benfica itu menjaringkan 28 gol dan memberikan 26 bantuan dalam 83 perlawanan selepas berpindah ke juara Scotland itu pada 2021.

Liga Pro Arab Saudi kini menjadi destinasi menarik untuk pemain berpangkalan di Eropah sejak Cristiano Ronaldo berpindah ke Al-Nassr, Januari lalu.

Bulan lalu, Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) mengumumkan Projek Pelaburan dan Penswastaan ​​Kelab Sukan melibatkan Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal. – REUTERS

- Advertisement -