
LIPIS: ADUN Cheka, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sedaya upaya memikul amanah beliau kepada masyarakat di bawahnya menerusi peranan sebagai wakil rakyat, pemimpin dan pendakwah.
Timbalan Presiden PAS itu meluangkan masa sehari suntuk menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Kampung Tempoyang dan Masjid Kampung Tanjung Buluh serta Perkampungan Orang Asli Sungai Temetong, di sini semalam.
Antara dipenuhi beliau adalah mengimamkan solat berjemaah, menyampaikan kuliah dan tazkirah, menyembelih haiwan dan kerja-kerja melapah serta mengagihkan daging korban, menyampaikan sumbangan bantuan dan ziarah.
Antara dikunjunginya adalah penduduk yang dipercayai paling tua usianya iaitu 111 tahun dikenali sebagai Aki Ariffin Mat Deris, di mana sepanjang keberadaan beliau di lokasi-lokasi tersebut turut ditemani pemimpin setempat.
Mereka ialah Tok Batin, Jalil Badrillah dan Tok Pat Sabri Rosli serta Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal Al-Ahmadi serta beberapa lagi yang lain dalam menjayakan majlis tersebut.
Ustaz Tuan Ibrahim dalam pengisiannya mengupas mengenai ibrah keluarga Nabi Ibrahim AS yang sangat dipuji Allah untuk dicontohi dalam kehidupan harian serta penghayatan kepada ibadah korban juga dari syariat dipatuhi keluarga tersebut. – HARAKAHDAILY 3/7/2023















