
ALHAMDULILLAH, KDNK Negeri Terengganu bagi tahun 2022 mencatatkan nilai berjumlah RM37.3 bilion iaitu peningkatan 5.9 peratus.
Awalnya kita menyasarkan hanya sekitar 3.5 peratus hingga 4.5 peratus sahaja (rujuk Ucapan Belanjawan 2023).
Kadar pertumbuhan yang positif ini menandakan ekonomi negeri kita dalam keadaan sihat dan semakin berkembang.
Subsektor Perdagangan Borong & Runcit; Penginapan dan Makanan dan Minuman; serta Perkhidmatan Kerajaan terus menampakkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Dalam tempoh 5 tahun ini, KDNK kita menunjukkan trend menaik iaitu 2.5 peratus pada tahun 2018, 3.3 peratus (2019), 3.6 peratus (2021) dan 5.9 peratus (2022).
Penguncupan sebanyak 5.7 peratus pada 2020 adalah impak pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi dunia keseluruhannya.
Jadi, data ini sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ekonomi Terengganu tak berkembang sejak PRU14 yang lalu.
Terima kasih saya ucapkan kepada semua jentera kerajaan, pihak swasta serta orang awam atas usahasama dalam memulihkan dan mengukuhkan ekonomi negeri ini.
YAB DATO’ SERI DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 3/7/2023




















