
KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semakin baik.
Perkara itu dimaklumkan PAS Terengganu menerusi laman Facebook, hari ini.
“Allahuakbar, Alhamdulillah, keadaan Tuan Guru sudah semakin baik.
“Terima kasih atas doa semua. Teruskan berdoa buat Tuan Guru, insya-Allah dapat keluar wad dalam masa terdekat,” ujar PAS Terengganu di laman sosial itu.
Foto yang disiarkan melalui Facebook itu menunjukkan Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Datuk Ustaz Husain Awang menziarahi Tuan Guru di wad.
Turut bersama beliau ialah Setiausaha PAS negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, bendahari, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah dan pengarah pilihan raya, Ustaz Ariffin Deraman.
Semalam, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi memohon umat Islam berdoa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan ayahandanya itu.
“Kesihatan ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.– HARAKAHDAILY 2/7/2023











