
HARI Raya Korban dikaitkan dengan kisah-kisah pengorbanan. Perkataan korban itu sendiri disebut oleh Allah S.W.T ketika menceritakan korban 2 orang anak Nabi Adam A.S.
Allah S.W.T berfirman;
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;”
(al-Maidah: 27)
Hari Raya Korban yang kita rayakan hari ini bermula dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. Pengorbanan yang luar biasa, dan dilaksanakan tanpa agak-agak.
▪️ ‘Perayaan’ dalam al-Quran.
Di dalam Bahasa Arab, perayaan bermaksud العيد. Allah S.W.T menyebut perkataan ini di dalam Surah al-Maidah ayat 114. FirmanNya;
قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِّنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِّأَوَّلِنَا وَآخِرِنَا وَآيَةً مِّنكَ ۖ وَارْزُقْنَا وَأَنتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
“Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki.”
Imam Ibn Kathir menukilkan huraian daripada As Suddiy R.A bahawa Nabi Isa A.S mengharapkan agar hari diturunkan rezeki itu sebagai perayaan yang diagungkan oleh mereka.
Al Baghawy pula mentakrifkan perayaan itu sebagai hari gembira. Iaitu Nabi Isa A.S berdoa agar diturunkan hidangan, dan hari tersebut akan dirayakan oleh mereka.
Jika kita meneliti ayat Surah al Maidah bermula 111 hingga 115, kita akan dapati bahawa permohonan supaya diturunkan hidangan yang akan dirayakan itu, bagi menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T.
Sebab itulah di hujung ayat 114 itu diterjemahkan dengan;
“… sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki”.
▪️ Pengorbanan sebagai lambang komitmen.
Hari Raya Korban adalah salah satu hari kebesaran umat Islam. Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim A.S itu diagungkan, dan diingati sepanjang zaman.
Ia sebagai tanda umat Islam itu bukan hanya sekadar dengan gelaran Muslim, tetapi perlu kepada komitmen terhadap agamanya. Komitmen itu diterjemahkan dengan pengorbanan.
Dalam kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S, Allah S.W.T merakamkan di dalam al-Quran betapa Nabi Ibrahim A.S itu adalah seorang yang benar-benar komited dengan arahan Allah S.W.T.
Komitmen ini adalah satu perkara yang serius, bukanlah main-main. Bukan juga dilunaskan dengan sekadar melepas batuk di tangga.
Sebab itulah, Nabi Ibrahim A.S tanpa agak-agak meninggalkan isterinya Siti Hajar bersama anaknya Nabi Ismail yang baru dilahirkan di tengah-tengah padang pasir yang kontang.
Begitu juga apabila Nabi Ismail A.S sudah meningkat umurnya, Nabi Ibrahim A.S tidak teragak agak untuk melaksanakan arahan Allah S.W.T untuk menyembelih anaknya.
Pengorbanan seperti ini terzahir daripada komitmen seseorang itu terhadap arahan Allah S.W.T.
▪️ Pengorbanan lahir dari cinta.
Seseorang yang cintakan sesuatu, sanggup mengorbankan apa sahaja untuk cintanya. Seseorang yang cintakan kenderaan, sanggup mengorbankan ribuan Ringgit untuk kenderaannya.
Begitulah juga seseorang yang cintakan keluarganya. Sanggup mengorbankan segalanya, demi cintanya itu.
Andai pengorbanan itu dituntut oleh Allah S.W.T dan RasulNya, maka ia berpahala. Andainya pengorbanan itu menyanggahi syariat, maka ia berdosa.
Adakalanya pengorbanan itu menjadi sia-sia, kerana ia dilakukan semata-mata keinginannya. Contohnya seseorang yang berkorban semata-mata mengejar hobinya.
▪️ Pengorbanan dan tauhid.
Pengorbanan yang sebenar terzahir apabila ia benar-benar mentauhidkan Allah S.W.T. Pegangan yang betul, akan melahirkan pengorbanan yang betul. Pegangan yang sesat, akan menatijahkan pengorbanan yang melencong.
Sebab itulah, kisah 2 orang anak Nabi Adam A.S yang diceritakan di atas merupakan garis sempadan pengorbanan.
Habil sebagai seorang penternak, serius untuk melaksanakan arahan korban daripada Allah S.W.T. Lalu beliau mengorbankan kambing yang paling elok.
Berbeza dengan Qabil. Beliau sebagai seorang petani, tidak serius melaksanakan korbannya. Beliau mengorbankan hasil tanaman yang tidak elok.
Di hujung ayat itu, Habil menyatakan;
قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
“(Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;”
▪️ Korban yang menyeleweng.
Di dalam kitab Ar Rahiq al Makhtum ada menceritakan mengenai Amru bin Luhay. Iaitu seorang individu yang bertanggungjawab menyesatkan ajaran Nabi Ibrahim A.S yang diamalkan oleh orang Makkah.
Di dalam Surah al Maidah, ayat 3, Allah S.W.T menyatakan;
وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
“… dan (diharamkan daging) yang disembelih atas nama berhala;”
Iaitu antara makanan yang diharamkan ialah apa yang disembelih atas nama berhala.
Imam Sayuti menafsirkan ayat ini dengan menukilkan tafsiran Mujahid bahawa sembelihan atas nama berhala ini dilakukan oleh orang-orang Makkah pada zaman Jahiliyyah. [1]
Syeikh Sofiurrahman al Mubarakfuri mengaitkan perbuatan sembelihan ini adalah korban mereka untuk berhala berhala itu, selain daripada bernazar (rujuk Surah al An’am ayat 146).
▪️ Korban kepercayaan lain.
1) Di Nepal, penganut Hindu merayakan Festival Ghadimai dengan memancung kerbau, kambing, ayam dan sebagainya untuk dipersembahkan kepada Dewi Ghadimai. [2]
2) Antara kepercayaan penganut Hindu, mereka merayakan Perayaan Durga Puja dan Kali Puja. Dalam perayaan ini mereka akan memancung binatang seperti kambing untuk dipersembahkan kepada Dewi Puja dan Dewa Kali. [2]
3) Di Vietnam pula mereka merayakan Festival Nem Thuong, bersempena tahun baru. Mereka akan mengorbankan 2 ekor khinzir, dan darahnya akan dicalit dengan duit dan dijadikan tangkal atau azimat untuk kaya. [2]
4) Dalam Tamadun Aztec, Mesir Kuno, Greek Kuno, Kaum Maya dan lain-lain mengamalkan korban dengan cara mengorbankan (membunuh) manusia. Antaranya dengan membelah dada mangsa, dan mengeluarkan jantung mereka. [2]
5) Ada yang menceritakan bahawa kepercayaan Mesir ketika mana Sungai Nil kering. Mereka akan mengorbankan seorang wanita di hadapan orang tuanya. Kepercayaan ini tidak lagi dilakukan apabila Amru al Ash menjadi Gabenor di situ. [3]
6) Antara khurafat yang ada di kalangan masyarakat Melayu ialah upacara membuka gelanggang silat dengan menyembelih seekor kambing atau ayam hitam. Darahnya akan disemah di sekeliling gelanggang. [4]
Korban yang berunsurkan tahyul dan syirik ini lahir daripada kepercayaan yang salah dan melencong. Percaya kepada dewa-dewi, jin, dan sebagainya sehingga dijadikan sembahan.
Di sinilah peranan syaitan untuk menyesatkan manusia. Sehingga manusia itu sanggup berkorban untuk kepercayaan sesatnya.
▪️ Kesimpulan.
Sambutan Raya Haji sinonim dengan mengorbankan binatang-binatang korban seperti lembu dan kambing.
Manakala pengorbanan yang dituntut dalam Islam, lebih luas dari itu. Contohnya mengorbankan masa untuk Islam, mengorbankan harta, tenaga, buah fikiran, sehinggalah kepada sanggup mengorbankan nyawa untuk Islam.
Kisah-kisah perjuangan golongan terdahulu wajar untuk dijadikan contoh dan pedoman. Para Sahabat R.A yang sanggup korbankan segalanya untuk Islam, menjadi lambang betapa tingginya komitmen mereka terhadap perjuangannya. Di sinilah erti keimanan mereka kepada Allah S.W.T.
Justeru, penilaian yang diberikan oleh Allah S.W.T bukanlah pada daging korban, akan tetapi pada paras Iman dan taqwa seseorang.
Iman itu adalah kepercayaan di dalam hati, pengakuan dengan lisan dan dilaksanakan dengan perbuatan. Maka pelaksanaan kepada perintah Allah S.W.T adalah pembuktian bahawa seseorang itu benar-benar beriman dan bertaqwa kepadaNya.
Inilah juga matlamat utama daripada sambutan Idul Adha dan ibadat korban. Firman Allah S.W.T;
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”
(al-Haj: 37)
1) Pengorbanan yang benar lahir daripada kepercayaan (keimanan) yang betul terhadap Tuhan.
2) Kecintaan yang tinggi terhadap Islam, akan membuatkan seseorang itu sanggup berkorban apa sahaja untuknya.
3) Pengorbanan itu adalah lambang komitednya seseorang terhadap agama dan perjuangannya.
MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 29/6/2023
Rujukan:
[1] Ad Durrul Manthur Fi Tafsiri bil Ma’thur, cetakan Dar Ihya’ at Turath al Arabiy
[2] https://fb.watch/lnshOuG3ya/
[3] Tafsir Ibn Kathir, Surah as Sajdah ayat 27
[4] Monograf Prasasti Perak, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, cet pertama tahun 2007











