
JERANTUT: Dugaan yang besar terpaksa dilalui Razahar Basir, 59, dan isteri, Jafidzah Ja’apar, 54, apabila rumahnya di Kampung Pedah, Jerantut Feri terbakar, Rabu lalu.
Lebih 80 peratus rumahnya yang dibina sejak 34 tahun lalu hasil keringat sendiri musnah dalam kebakaran itu.
Menceritakan detik kejadian, Razahar yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu rumah bersama dua orang cucu kira-kira jam 2 petang.
“Saya terhidu bau asap datang daripada bilik utama rumah dan terus melulu laju ke bilik tersebut, saya tengok api sudah menjulang membakar tilam.
“Saya cuba keluarkan tilam dan padamkan dengan menggunakan air tetapi api dah tinggi.
“Dalam masa yang sama, dua anak saya terus bertindak mengeluarkan ibu mentua yang terlantar di dalam bilik lain. Selepas itu kami lari tinggalkan rumah,” jelasnya.
Susulan itu, bilik utama dan bilik kedua sehingga ruang tamu musnah dan tiada perabot yang dapat digunakan lagi.
“Kali ini saya tengok rumah, tidak boleh nak cakap apa-apa, hampir musnah semua. Macam mana pun tidak boleh nak salahkan sesiapa, itu kehendak Allah. Paling penting kesemua penghuni rumah selamat dan tiada kemalangan jiwa,” ujar Jafidzah Jaafar.
Pihak Bomba dan Penyelamat mengambil masa 20 minit bagi memadamkan kebakaran itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang melawat mangsa hari ini berkata, kejadian itu telah mendapat perhatian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Ugama Islam Cawangan Jerantut.
“Kami mengharapkan semua mangsa tabah menghadapi ujian yang menimpa mereka dan mendoakan semoga Allah gantikan rezeki yang lebih baik.
“Marilah kita sama-sama membantu sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa mengamalkan sifat kasih-sayang dan prihatin sesama kita,” katanya selepas menyampaikan sumbangan.
Beliau menggalakkan masyarakat turut sama memberikan sokongan kepada mangsa yang ditimpa musibah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun CIMB Bank Jafidzah Ja’apar bernombor 7035754956. – HARAKAHDAILY 27/6/2023











