
ALOR SETAR: ‘Musuh Allah’ yang dimaksudkan Syeikh Muhd Zainol Asri Mohd Romli tidak ditujukan kepada mana-mana parti politik, kumpulan, atau individu tertentu di Malaysia.
Beliau menjelaskan ungkapan kalimah ‘musuh Allah’ yang diucapkan merujuk kepada golongan Yahudi dan Nasrani yang jelas mempunyai niat jahat terhadap umat Islam.
“Apa yang terkandung di dalam ayat Allah itu memohon agar kita diselamatkan serta dijauhi daripada musuh Allah iaitu Yahudi dan Nasrani.
“Saya tidak memberi maksud ‘musuh Allah’ itu kepada mana-mana parti politik, kumpulan mahu pun individu di Malaysia,” katanya menjelaskan isu terbabit semalam.
Semalam, Sheikh Zainol diminta hadir ke Balai Polis Kubang Pasu untuk memberi keterangan berkaitan ucapan pada malam Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman Sabtu lepas.
Berikutan itu laporan polis terhadapnya dibuat Ketua Biro Mobilisasi Pusat Media PH, Mohamad Yahya di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Pada laporan itu aktivis PH terbabit menganggap ucapan ‘musuh Allah’ sebagai hasutan dan merbahaya kepada keselamatan negara.
Pada program Kedah Berselawat Sheikh Zainal menyeru agar semua yang hadir berdoa dan memohon ke hadrat Ilahi agar Kedah diselamatkan daripada musuh-musuh Allah yang jelas membawa kerosakan kepada umat Islam.
Bagaimanapun melalui rakaman video beliau memohon kemaafan seandainya ucapannya mengakibatkan salah faham dan tidak senang di hati mana-mana pihak.
Video berdurasi 3.24 minit itu menjelaskan maksud ucapannya ‘Kedah diselamatkan daripada musuh Allah’ adalah merujuk kepada peringatan Allah di dalam Al-Quran berkenaan perbuatan puak Yahudi dan Nasrani terhadap Islam. – HARAKAHDAILY 27/6/2023











