Gurauan terhadap wanita, PM patut lebih beradab

Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

TULAR sebuah video yang memaparkan Perdana Menteri kesepuluh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi awam dan pelajar sekolah.

- Advertisement -

Dewan Muslimat PAS Malaysia tertarik dengan soalan yang diutarakan oleh seorang pelajar tingkatan enam yang jelas menunjukkan kematangan berfikir pelajar yang baru berusia 18 atau 19 tahun tersebut.

Secara tidak lansung ia mengesahkan rakyat Malaysia di usia tersebut sudah matang untuk membuat keputusan dalam memberikan undi. Syabas Dewan Muslimat PAS Malaysia ucapkan kepada pelajar yang bernama Adriana tersebut.

Walau bagaimanapun, Dewan Muslimat PAS Malaysia amat kesal dengan perilaku Dato Sri Anwar Ibrahim yang secara bergurau meminta nombor telefon pelajar tersebut.

Pihak kami memahami ia adalah gurauan namun ia secara tidak langsung menggambarkan mentaliti bagaimana lelaki yang langsung tidak memandang keintelektualan wanita. Apatah lagi ia dimulai dengan frasa, “kalau saya masih muda”.

Apakah sekadar itu arah pandangan seorang lelaki apabila wanita menunjukkan keintelektualannya? Tidakkah ini seakan mempermainkan wanita apabila kami menyuarakan pandangan?

Dewan Muslimat PAS Malaysia merasakan gurauan seperti itu adalah tidak wajar dibuat oleh seorang lelaki terhormat pada seorang wanita apatah lagi dalam sebuah majlis terbuka yang dihadiri oleh pelajar dan anak-anak muda. Yang paling penting gurauan seumpama itu tidak harus diucapkan oleh seorang Perdana Menteri kepada seorang pelajar yang hampir seumur dengan cucunya.

Perdana Menteri harus ingat perilaku beliau bukan sahaja menjadi tontonan ramai malah menjadi contoh kepada anak muda. Tidak perlulah Dato’ Seri mengikuti trend hingga begitu seperti seorang penghibur.

Sebelum ini juga pernah tular gurauan nakal beliau dengan pengerusi majlis di sebuah universiti di utara tanah air. Pernah juga tular perlakuan beliau menari di sebuah universiti di timur Semenanjung Malaysia.

Seharusnya program sebegini diadakan untuk membina minda pelajar ke arah pembentukan minda pelajar di masa hadapan. Untuk mendekati anak muda seorang pimpinan harus menunjukkan contoh yang baik supaya menjadi teladan dan ikutan bukan sekadar bergurau dan berhibur.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Zulhijjah 1444 / 27 Jun 2023 – HARAKAHDAILY 27/6/2023

- Advertisement -