
KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melancarkan buku Polisi Tadbir Urus Patuh Syariah sebagai panduan kepada 18 anak syarikat agensi itu yang membabitkan pelbagai sektor ekonomi.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, ia merupakan satu sistem tadbir urus patuh syariah yang diimplementasikan PKINK dan syarikat anak. (Foto atas)
Menurutnya PKINK merupakan agensi negeri pertama mengambil inisiatif itu sekaligus memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk memperkasakan Merakyatkan Membangunkan Bersama Islam (MBI).
“PKINK memperkenalkan satu sistem tadbir urus syariah dalam kumpulan PKINK bagi memastikan perniagaan, operasi dan aktivitinya sentiasa mematuhi peraturan syariah.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pengurusan PKINK atas usaha tersebut. Ini merupakan agensi Kelantan yang pertama menubuh Polisi Tadbir Urus dan Pematuhan Syariah,” katanya pada perasmian Majlis Anugerah Penarafan Bintang dan Perkhidmatan Cemerlang Kumpulan PKINK Tahun 2022 di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Norazman Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus.
Dalam pada itu katanya kerajaan negeri turut menggalakkan PKINK memperluaskan perniagaan ke luar negeri khususnya sistem pajak gadai Islam oleh Permodalan Kelantan Berhad (PKB).
Malah beliau berharap supaya pihak pengurusan dan kumpulan anak syarikat dapat berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan agensi itu kekal utuh serta dapat berdaya saing pada masa hadapan.
“Perancangan PKINK untuk memperluaskan aktiviti perniagaan ke luar negeri dalam sektor yang tertentu mengikut kepakaran yang dimiliki amat digalakkan.
“Ini menujukkan Kumpulan PKINK bersedia dalam mewujudkan persaingan secara sihat dan setaraf dengan syarikat dan agensi luar,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2023











