Makin ramai wanita menjadi ahli lembaga pengarah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hanya dua kerusi lagi diperlukan untuk mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di peringkat 100 syarikat tersenarai awam teratas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, penglibatan wanita setakat 1 April lalu adalah 29.7 peratus, jauh meningkat berbanding hanya 14 peratus pada 2016.

Katanya, peningkatan itu adalah hasil inisiatif Suruhanjaya Sekuriti yang menambah baik kod tadbir urus urusan korporat Malaysia pada 2021 yang mewajibkan semua syarikat tersenarai awam melantik sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga pengarah daripada kalangan wanita.

- Advertisement -

“Inisiatif ini berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan pada 1 Jun 2023, bagi syarikat tersenarai lain,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan statistik semasa penglibatan wanita bagi jawatan utama kerajaan dan juga selaku pembuat keputusan untuk sektor swasta serta apakah hala tuju baharu bagi merapatkan jurang gender dalam kerjaya utama.

Sementara itu di sektor perkhidmatan awam, Aiman Athirah berkata, statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setakat Disember 2022 menunjukkan pembabitan wanita di peringkat pengurusan tertinggi ialah 38.8 peratus.

Katanya, 21 peratus iaitu 204 syarikat daripada 979 syarikat tersenarai awam mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam kalangan ahli lembaga pengarah, manakala 24 peratus daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat sama.

Selain itu, katanya nisbah bilangan wanita di peringkat tertinggi iaitu barisan kepimpinan utama seperti jawatan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan, ketua pegawai teknikal dan ketua pegawai operasi di GLC dan syarikat tersenarai awam telah melepasi sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -