Diarah pulang kenderaan rasmi selepas Dun bubar

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua anggota Exco Kerajaan Negeri diarah memulangkan kenderaan rasmi kerajaan sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah dibubarkan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, arahan itu untuk mengelakkan penggunaan harta kerajaan ketika berkempen.

“Saya mahu proses demokrasi berjalan sepanjang pembubaran dan pengundian sehingga pembentukan kerajaan.

“Saya harap parti-parti lain juga menggunakan kaedah yang sama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman petang semalam.

Menurutnya juga arahan itu termasuk tidak menggunakan dana, jabatan dan agensi kerajaan untuk berkempen.

“Bertandinglah secara anak jantan. Harap jangan ada pihak, cakap lain buat lain,” tambahnya.

Sanusi juga berkata, beliau akan berbincang dengan Penasihat Undang-Undang negeri membincang garis panduan serta bidang kuasa kerajaan sementara sepanjang tempoh Dun dibubar sehingga pembentukan kerajaan baharu nanti.

Difahamkan Menteri Besar dijangka mengadap Tuanku Sultan Kedah pada 25 Jun ini untuk memohon perkenan pembubaran Dun yang dicadang 28 Jun.

Sementara itu dalam perkembangan lain Sanusi menegaskan program-program hiburan di Kedah masih tertakluk di bawah Enakmen Kawalan Hiburan termasuk di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Yang menari tunjuk-tunjuk langit, kalau nak buat juga kena minta kebenaran pegawai daerah. Tak sesuai, takkan dilulus walaupun dalam universiti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -