Bantu mudahkan usahawan IKS jual produk

- Advertisement -

JERANTUT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud sentiasa konsisten memperjuangkan nasib para usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

- Advertisement -

Beliau pernah mengutarakan perkara itu semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar diwujudkan kompleks yang menempatkan usahawan IKS.

Justeru, beliau berharap, pihak kerajaan dapat menilai kembali cadangannya yang telah disebutkan ketika membahaskan Belanjawan Negeri Pahang 2020 mengenai perkara itu.

“Saya berharap kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan tersebut demi membantu merancakkan perniagaan para usahawan IKS,” ujarnya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS negeri.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui semasa melawat sebuah tempat penghasilan kuih pau yang merupakan salah satu produk IKS di Kampung Simpang Tebing Tinggi, dekat sini, hari ini.

Katanya, bandar Jerantut merupakan pintu masuk ke Taman Negara dan terdapat pelbagai tempat tarikan para pelancong.

Tambahnya, dengan kompleks itu akan memudahkan para pelancong luar dan dalam negara untuk mendapatkan produk masyarakat setempat.

Ustaz Zuridan juga menemui Penolong Pegawai Pertanian daerah, Nurzuzana Kamis untuk mengetahui berhubung perkara itu dengan lebih lanjut.

Beliau menemui pegawai terbabit semasa meneruskan aktiviti mingguan Jejak Produk IKS di sekitar DUN Damak yang bertujuan untuk mempromosikan produk-produk yang dihasilkan masyarakat setempat.

Menurut Nurzuzana, terdapat 43 orang usahawan yang berdaftar di bawah bimbingan Jabatan Pertanian di situ.

Beliau bersetuju dengan cadangan agar diwujudkan kompleks tersebut bagi membantu dan memudahkan para usahawan menjual hasil produk mereka. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -