
Sadio Mane menjaringkan dua gol untuk membantu Senegal mengejutkan Brazil 4-2 dalam perlawanan persahabatan di Lisbon, semalam, kekalahan ketiga juara dunia lima kali itu dalam empat perlawanan terakhir mereka.
Ini adalah kali pertama Brazil tewas dengan perbezaan dua gol sejak dibelasah 2-0 oleh Chile pada 2015, selain tidak bolos empat atau lebih dalam satu perlawanan sejak dimalukan 7-1 oleh Jerman pada separuh akhir Piala Dunia 2014.
Lucas Paqueta memberikan Brazil pendahuluan pada awal babak pertama dan menyangka telah memenangi penalti apabila Vinicius Jr dikasari dalam kotak penalti. Namun, keputusan pengadil diubah selepas semakan VAR mendapati berlaku kesalahan ofsaid.
Senegal memanfaatkan peluang pertama mereka sebaik mungkin apabila pertahanan Brazil gagal melakukan hantaran lintang ke dalam kotak dan Habib Diallo merembat bola ke dalam jaring dengan sepakan voli kencang pada minit ke-22.
Gol itu memberikan keyakinan kepada Senegal yang kemudian menjaringkan dua gol dalam masa tiga minit selepas rehat. Pemain pertahanan, Marquinhos secara tidak sengaja menepis tandukan Ismaiia Sarr ke gawang sendiri sebelum Mane melencongkan rembatan cemerlang dari dalam kotak ke sudut atas gawang Brazil.
Marquinhos menebus kesilapannya sebelum ini dengan menjaringkan gol kedua Brazil, tetapi Senegal tetap tenang dan melebarkan jurang apabila Mane menjaringkan gol melalui sepakan penalti selepas Nicolas Jackson dikasari dalam kotak penalti oleh penjaga gol Brazil, Ederson.
Kekalahan ini suatu lagi tamparan buat Brazil yang dikendalikan oleh Pengurus Bawah 20 tahun, Ramon Menezes sebagai jurulatih sementara.
Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) masih mengejar pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti untuk menjadi jurulatih baharu mereka. Jawatan itu kosong sejak Tite meletak jawatan berikutan tersingkir di suku akhir Piala Dunia Qatar pada Disember lalu. – REUTERS











