
ALOR SETAR: Tiada pihak yang patut berasa bimbang dan risau dengan titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah berkenaan isu sejarah Kedah-Pulau Pinang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, titah itu lurus dan betul, malah perkara yang beliau bangkitkan sebelum ini sama sekali tidak lari daripada hasrat baginda tersebut.
Malah jelas beliau, hal itu bukan bertujuan untuk mencari gaduh dengan sesiapa melainkan memperbetulkan pemesongan atau penjulingan sejarah yang telah dieksploitasi pihak tertentu.
“Sebenarnya sejarah ini dieksploitasi dari zaman British lagi zaman Francis Light itu, pernah mengeksploitasi keadaan untuk kepentingan mereka. Apa yang saya ungkapkan sebelum ini adalah untuk memperbetulkan kembali pengeksploitasian oleh pihak-pihak sebelum ini.
“Jadi saya juga dapat, adalah orang bagi tahu, ada parti yang menyokong pada masa itu supaya Pulau Pinang ni menjadi negeri yang berasingan. Ada. Jadi mesti dibetulkan,” ujarnya selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini petang tadi.
Isu ini menjadi perhatian massa setelah Sanusi membangkitkan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah di mana menyebabkan beliau dituduh membuat kenyataan palsu dan mahu meminda Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun Tuanku Sallehuddin menyambut baik perbincangan mengenai sejarah itu dan menyeru ia tidak dinoktahkan secara melulu yang dititahkan baginda sempena Hari Keputeraan Ke-81, Ahad lalu.
“Keadaan itu mesti dibetulkan oleh anak-anak bangsa yang kemudian lahir daripada kecerdikan, kepintaran, kecerdasan. Ada ilmu, ada maklumat, ada usaha untuk buat kajian, ada usaha untuk membuat pembetulan.
“Mesti dibuat, kalau tidak kita hanya hidup dalam satu rangka yang ditentukan oleh pihak lain yang ada kepentingan sejak 200 tahun dulu untuk kita hidup macam itu. Saya rasa tak betul.
“Selagi mana kita ada pemikiran, ada usaha, ada keberanian, ada kesungguhan untuk melihat kehidupan kita ni lebih baik. Kalau dulu berlaku pemesongan, adakah kita sanggup hidup dalam pemesongan itu selama-lamanya?
“Saya tak sanggup. Kalau ada orang sanggup dan selesa dengan pemesongan itu, itu terpulang kat dialah. Kerana dia ada kepentingan dalam pemesongan itu. Kita ada untuk memperbetulkan apa yang telah dipesongkan dan pembetulan itu akan berjalan berdasarkan kajian-kajian, bukan hanya berdasarkan kehendak-kehendak,” ujarnya.
Sanusi juga menyangkal tuduhan bahawa telah mendesak untuk Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi tujuan tersebut kerana beliau tidak mempunyai sokongan dua pertiga di Parlimen yang membolehkan perkara itu.
Bahkan beliau menolak tanggapan kononnya mahu menimbulkan pergaduhan, sedangkan dirinya berusaha membetulkan pemesongan sejarah tersebut terhadap pihak yang ada kepentingan di sebalik hal itu.
Turut disanggahnya adalah kenyataan seorang ahli akademik bahawa sewaan ke atas Pulau Pinang telah terbatal di mana dinyatakan Sanusi sebagai individu yang lahir dari sistem dipesongkan itu.
“Saya rasa hasrat ini patut disokong. Selagi mana ia benar berdasarkan hakikat yang telah terjadi pada waktu itu dan mesti dibetulkan sekarang ni. Ni usaha yang baik. Dan kita akan junjung titah perintah Tuanku Sultan untuk merealisasikan ini.
“Berdasarkan pembentangan fakta-fakta tanpa prejudis kepada mana-mana pihak. Itulah usaha yang sedang kita buat. Saya harap titah Tuanku Sultan ni tak ada orang yang ingkar.
“Janganlah kita menjunjung titah bila sebulu dengan kita. Bila tak mahu, bila tak sebulu, kita ingkar kan? Kita dah berikrar ketaatan, kesetiaan kepada raja dan negara, ini Rukun Negara,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 21/6/2023











