Tiada gangguan air selepas bina tangki mendapan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tiada notis gangguan bekalan air dikeluarkan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) melibatkan kerja cucian tangki mendapan Loji Rawatan Air (LRA) Jeneri direkodkan setakat ini selepas projek membina tangki mendapan tambahan di LRA itu siap sepenuhnya pada 27 Mac lepas.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA Radzuan Osman berkata SADA mengambil inisiatif membina tangki mendapan tambahan itu bagi memastikan pengurangan operasi LRA akibat kerja cucian tangki mendapan itu dapat diminimumkan sekali gus memberikan manfaat kepada 7,000 akaun pengguna di daerah Sik dan Pendang.

“Seperti kelaziman, pengurangan operasi LRA Jeneri akan berlaku sebanyak dua kali dalam masa satu bulan bagi memberi laluan kepada kerja pencucian flok di tangki mendapan. Dengan penambahan sebuah lagi tangki mendapan ini, kerja cucian dapat dilakukan tanpa mengganggu pengoperasian keseluruhan LRA Jeneri.

“Pengenapan merupakan peringkat keempat dalam proses rawatan air selepas penyaringan, pengudaraan dan pengentalan. Flok yang terhasil daripada proses pengentalan akan mendap secara graviti di tangki mendapan. Air yang separa bersih itu akan melalui proses seterusnya iaitu penapisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Radzuan berkata antara kawasan yang terjejas akibat pengurangan operasi LRA itu sebelum ini ialah Kampung Bendang Raja; Kampung Syed Ahmad; Kampung Tok Set;  Pokok Asam; Kampung Belat; Titi Akar; Sungai Tiang Padang Durian; Kampung Sewa; Padang Pusing; Bukit Tegur dan Bendang Pulai.

Mengenai projek membina tangki mendapan tambahan itu, beliau berkata projek itu dilaksanakan melalui peruntukan dalaman SADA sebanyak RM3.1 juta dan ia bermula pada 1 Julai 2022 yang dijangkakan siap pada 30 Jun nanti namun berjaya disiapkan sepenuhnya kira-kira tiga bulan lebih awal iaitu 27 Mac lalu.

“Melalui pembinaan projek ini, SADA berharap LRA Jeneri dapat berfungsi dengan lebih baik seterusnya memberikan bekalan air terawat yang konsisten dan berkualiti kepada penduduk di kawasan sekitar,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -